BANGKOK - Tentera Kemboja dan Thailand bersetuju untuk meletakkan senjata dan mematuhi gencatan senjata susulan perjanjian yang dicapai semasa mesyuarat khas di Putrajaya, Malaysia pada Isnin.
Komander tentera dari kedua-dua negara mengadakan rundingan pada Selasa bagi memperkukuh perjanjian gencatan senjata itu.
Tentera Darat Diraja Thailand (RTA) memaklumkan bahawa komander unit tentera yang ditempatkan di ketiga-tiga sektor sempadan Thailand-Kemboja telah mencapai persetujuan bersama untuk melaksanakan gencatan senjata dan menggantung semua pergerakan anggota menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) yang dijadualkan pada Isnin depan (4 Ogos).
Jurucakap RTA, Mejar Jeneral Winthai Suvaree berkata, persetujuan itu dicapai semasa mesyuarat penyelarasan antara komander tentera Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan pada awal Selasa.
"Diketuai oleh komander Tentera Darat Wilayah Pertama, kedua-dua pihak bersetuju untuk menggantung semua pergerakan tentera bagi mengelakkan salah faham atau ketegangan sementara menunggu hasil Mesyuarat GBC pada 4 Ogos.
"Mereka juga bersetuju membenarkan komander di semua peringkat berkomunikasi secara langsung sekiranya berlaku kecemasan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan berasingan, satu lagi mesyuarat turut diadakan pada Selasa antara Tentera Darat Wilayah Kedua Thailand dan Tentera Wilayah Keempat Kemboja yang diketuai oleh komander Tentera Darat Wilayah Kedua.
Menurut Winthai, mesyuarat itu merangkumi beberapa perkara utama, termasuk pemberhentian tembakan serta-merta dan larangan penggunaan kekerasan atau senjata terhadap orang awam.
Ia juga menyentuh mengenai penghentian penambahan atau penempatan semula tentera yang boleh menimbulkan salah faham serta pengaturan untuk penghantaran pulang mangsa yang cedera dan terkorban dalam pertempuran baru-baru ini.
"Kedua-dua pihak bersetuju dengan langkah-langkah ini dan memutuskan untuk menubuhkan unit penyelarasan bersama di peringkat tempatan bagi menangani isu-isu mendesak dan mencegah insiden selanjutnya,” tambahnya.
Winthai berkata satu lagi mesyuarat yang dijalankan secara dalam talian, diadakan antara Pemerintahan Pertahanan Sempadan Chanthaburi-Trat (CTBDC) dan Tentera Wilayah Ketiga Kemboja, turut mencapai keputusan selaras dengan hasil mesyuarat Tentera Darat Wilayah Pertama.
Beliau juga mengesahkan bahawa gencatan senjata telah dikuatkuasakan di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja sejak pagi Selasa, sebelum mesyuarat-mesyuarat itu diadakan.
Di PHNOM PENH, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Leftenan Jeneral Maly Socheata, mengesahkan bahawa mesyuarat telah diadakan antara komander Tentera Wilayah Kelima Kemboja dan Tentera Darat Wilayah Pertama Thailand.
"Kedua-dua pihak bersetuju untuk menghormati gencatan senjata, menghentikan penempatan tentera, memulihkan saluran komunikasi dan perkongsian maklumat, serta mendapatkan panduan daripada pegawai atasan mereka mengenai sebarang isu yang belum diselesaikan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh media kerajaan Agence Kampuchea Presse pada Selasa.
Semasa rundingan gencatan senjata di pusat pentadbiran Malaysia, Putrajaya pada Isnin, Kemboja dan Thailand bersetuju agar pegawai tertinggi tentera mereka mengadakan pertemuan pada Selasa (29 Julai) bagi mengambil tindakan susulan terhadap gencatan senjata itu.
Kedua-dua pihak juga mencapai persefahaman bersama, antara lain antara lain untuk mengadakan mesyuarat tidak rasmi antara komander wilayah (Tentera Darat Wilayah Pertama dan Kedua di pihak Thailand, dan Tentera Wilayah Keempat dan Kelima di pihak Kemboja) pada 29 Julai, diikuti dengan mesyuarat bersama Atase Pertahanan, yang diketuai oleh Pengerusi ASEAN, jika dipersetujui kedua-dua pihak.
Mereka juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat GBC pada 4 Ogos 2025, yang akan dihoskan oleh Kemboja.
Mesyuarat khas itu, yang diadakan atas inisiatif Malaysia dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN ketika ini, bertujuan menamatkan konflik ketenteraan yang tercetus di sepanjang sempadan Kemboja-Thailand sejak 24 Julai.
Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik melibatkan 817 kilometer sempadan bersama yang belum dimuktamadkan.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja mula memuncak sejak 28 Mei susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan Preah Vihear yang dipertikaikan, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja. - Bernama