BANGKOK – Komander tentera Thailand dan Kemboja mengadakan rundingan pada Selasa ketika keadaan kembali tenang di sempadan yang dipertikaikan, selepas kedua-dua negara jirannya di Asia Tenggara itu bersetuju menghentikan pertempuran berdarah selama lima hari.
Pemimpin kedua-dua negara bertemu di Malaysia pada Isnin dan mencapai persetujuan gencatan senjata bagi menamatkan konflik paling dahsyat dalam lebih sedekad, yang telah meragut sekurang-kurangnya 40 nyawa dan kebanyakannya orang awam serta menyebabkan lebih 300,000 orang dipindahkan di kedua-dua negara.
Bagaimanapun, tentera Thailand mendakwa tentera Kemboja melancarkan serangan di sekurang-kurangnya lima lokasi awal pagi Selasa, sekali gus melanggar gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak tengah malam.
Kemboja menafikan dakwaan itu dan menegaskan tenteranya mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata, menurut kenyataan Menteri Pertahanan, Tea Seiha.
MejarJeneral Winthai Suvaree berkata, rundingan antara Komander Wilayah ke-2 tentera Thailand yang bertanggungjawab ke atas kawasan sempadan paling bergolak dan rakan sejawatnya dari Kemboja turut diadakan.
Tambahnya, mereka bersetuju mengekalkan gencatan senjata, menghentikan sebarang pergerakan tentera dan memudahkan pemulangan mangsa yang cedera serta mayat.
“Kedua-dua pihak juga akan menubuhkan pasukan penyelaras seramai empat orang bagi menyelesaikan sebarang isu,” katanya.
Menurut Ketua Suruhanjaya Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa Parlimen Kemboja, Lim Menghour, kedua-dua tentera bersetuju untuk tidak menambah bilangan anggota di kawasan sempadan dan menekankan keperluan pemantau antarabangsa.
“Itu penting untuk memastikan semua terma dan perjanjian dipatuhi,” katanya kepada Reuters.
Sementara itu, Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai berkata, kerajaan Thailand telah mengemukakan aduan kepada Malaysia, Amerika Syarikat dan China berhubung dakwaan pelanggaran gencatan senjata oleh Kemboja, namun keadaan di sempadan dilaporkan kembali tenang.
Aktiviti harian dan pergerakan kenderaan mula pulih di daerah Kantharalak, wilayah Sisaket yang terletak kira-kira 30 kilometer dari garisan hadapan di mana tentera kedua-dua negara masih berkubu.
Kedua-dua negara telah lama berselisih mengenai sempadan dan hubungan semakin tegang sejak seorang askar Kemboja terbunuh dalam satu insiden pada akhir Mei lalu, yang mencetuskan penghantaran tentera besar-besaran dan krisis diplomatik penuh.
Rundingan damai pada Isnin berlaku selepas desakan berterusan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang memberi amaran kepada kedua-dua pihak bahawa rundingan perdagangan tidak akan diteruskan jika pertempuran tidak dihentikan.
Thailand dan Kemboja kini berdepan cukai import sebanyak 36 peratus ke atas barangan mereka ke AS iaitu pasaran eksport utama, melainkan ada rundingan semula.
Susulan perjanjian gencatan senjata itu, Trump berkata beliau telah menghubungi kedua-dua pemimpin dan mengarahkan pasukannya menyambung semula rundingan tarif.
Menteri Kewangan Thailand, Pichai Chunhavajira berkata rundingan perdagangan dengan Washington dijangka selesai sebelum 1 Ogos dan kadar tarif baharu dijangka lebih rendah daripada 36 peratus.
Penganalisis politik Universiti Chulalongkorn, Thitinan Pongsudhirak pula berkata perjanjian gencatan senjata itu hanya akan bertahan jika ia dipantau pihak ketiga.
“Gencatan senjata ini perlu dikuatkuasakan. Ia tidak boleh diserahkan kepada Thailand dan Kemboja semata-mata kerana ketegangan sudah terlalu mendalam,” katanya. - Agensi