KOTA KINABALU - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah menafikan dakwaan berlaku kes buli di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar, pada tahun 2023.
Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin berkata, siasatan mendapati kes tersebut tidak berlaku di sekolah berkenaan, malah identiti pelajar yang terlibat juga tidak dikenali.
"Kes ini tidak ada berlaku di SMA Tun Mustapha, tiada yang kenal pelajar ini. Malah tidak ada laporan disiplin yang JPN terima berkaitan kes ini sebab ia tidak berlaku di sekolah itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas arahan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam satu hantaran yang meminta JPN Sabah menyiasat kes tersebut.
Bagaimanapun, Raisin menjelaskan kejadian itu sebenarnya berlaku di sebuah sekolah lain dan bukan melibatkan insiden buli, sebaliknya membabitkan pelajar yang terlanggar tiang gol.
"Ya di sekolah lain, budak terlanggar tiang gol dan tiada kaitan buli. Kes juga telah selesai pada tahun yang sama dan ibu bapa murid telah menarik laporan polis," katanya.
Fadhlina dalam hantaran di Facebook memaklumkan bahawa tular di media sosial satu dakwaan kes buli melibatkan seorang murid di sebuah sekolah di Sabah yang dikatakan berlaku pada tahun 2023.
Sehubungan itu, beliau meminta pasukan JPN Sabah menjalankan siasatan segera terhadap perkara tersebut, selain menggesa ibu bapa atau penjaga murid terbabit tampil membuat laporan kepada JPN Sabah atau pihak polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Dalam kenyataan sama, beliau turut memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli, dan menegaskan ia perlu dibanteras di semua peringkat.
Beliau turut menyertakan tanda pagar #YouTouchYouGo dipercayai sebagai peringatan kepada mana-mana murid atau pelajar yang terlibat dalam kes buli bahawa tindakan tegas akan diambil, termasuk kemungkinan dibuang sekolah.