Tiada unsur jenayah dalam kes 20 kanak-kanak diselamatkan JKM - Polis

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung 20 kanak-kanak termasuk bayi berusia 15 hari ditemui dalam gudang

GEORGE TOWN – Polis menyerahkan kes membabitkan 20 kanak-kanak, termasuk seorang bayi perempuan berusia 15 hari yang diselamatkan dalam satu operasi khas pada 21 Julai lalu, kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, hasil siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam kes berkenaan termasuk pemerdagangan manusia atau penderaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak polis telah selesai mengambil keterangan daripada kesemua kanak-kanak terlibat termasuk seorang wanita yang merupakan ibu kepada bayi terbabit.

“Memang benar kes ini melibatkan siasatan polis, namun setelah siasatan dijalankan, kita dapati tiada sebarang unsur jenayah yang dikesan, sama ada penderaan, pemerdagangan manusia atau lain-lain kesalahan.

Iklan

“Oleh itu, kita menyerahkan semula kes ini kepada pihak JKM Pulau Pinang untuk disiasat mengikut akta yang berkaitan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bahawa seramai 20 kanak-kanak, termasuk seorang bayi perempuan berusia 15 hari, telah diselamatkan dalam satu operasi khas yang dijalankan oleh JKM dengan kerjasama polis di dua premis sekitar Seberang Perai Tengah pada 21 Julai lalu.

Iklan

Dua premis berkenaan melibatkan sebuah gudang kilang dan sebuah rumah yang dijadikan pusat pembelajaran tidak berdaftar.

Kesemua kanak-kanak berusia antara 15 hari hingga 16 tahun itu terdiri daripada 10 kanak-kanak lelaki dan 10 perempuan.

Hasil siasatan awal mendapati sebahagian daripada mereka tidak mempunyai penjaga sah dan dipercayai tidak menerima keperluan asas yang mencukupi seperti makanan, pakaian serta tempat tinggal yang selamat.

Daripada jumlah tersebut, 12 kanak-kanak tidak mempunyai dokumen sijil kelahiran, enam mempunyai dokumen pengenalan dan ada ahli keluarga manakala dua telah diserahkan kepada keluarga terdekat.

Sementara itu, bayi yang baharu dilahirkan masih belum mempunyai dokumen pengenalan sah manakala dua kanak-kanak lain juga telah diserahkan kepada penjaga keluarga terdekat.