Mahkamah arah kes kematian model Belanda, Ivana Smit disiasat semula

Iklan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa mengarahkan pihak polis memulakan semula siasatan kes kematian model warga Belanda, Ivana Esther Robert Smit, yang mayatnya ditemukan di balkoni tingkat enam sebuah kondominium, lapan tahun lalu.

Hakim, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas membenarkan saman dikemukakan ibu kepada gadis berusia 18 tahun itu, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen.

Iklan
Iklan

Ia susulan mahkamah mendapati wujudnya kecuaian oleh pihak polis ketika mengendalikan siasatan kematiannya pada tahun 2017.

Selain itu, mahkamah mengarahkan Ketua Polis Negara (KPN) selaku defendan pertama menggugurkan defendan kedua, Asisten Superintendan Faizal Abdullah (defendan kedua) daripada pasukan penyiasatan kes itu.

Iklan

Semasa membaca keputusan penghakiman, beliau berkata, pihak polis juga perlu memaklumkan perkembangan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap tiga bulan bermula dari tarikh penghakiman tersebut.

“Kematian gadis itu dalam keadaan yang mencurigakan sepatutnya memerlukan siasatan yang lebih teliti dan profesional.

Iklan

“Sebaliknya, bukti sedia ada telah mendedahkan beberapa kegagalan, ketidakcekapan dan mengabaikan prosedur.

“Selepas ini, AGC akan menilai kecukupan bukti serta langkah seterusnya,” katanya.

Pada 20 November 2020, Christina yang juga plaintif memfailkan saman dengan menamakan KPN, ASP Faizal, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi mengarahkan empat pihak itu membayar RM1.1 juta kepada Christina selepas mendapati wujud kecuaian oleh pihak polis ketika mengendalikan siasatan kematian gadis itu, pada tahun 2017.

Mahkamah memerintahkan defendan membayar RM500,000 sebagai ganti rugi am, RM300,000 sebagai ganti rugi teruk dan RM300,000 sebagai ganti rugi teladan kepada Christina.

Semua defendan turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM100,000 kepada keluarga mangsa.

Sementara itu, menerusi kenyataan media, keluarga mendiang meluahkan rasa lega dan berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan siasatan baharu dijalankan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan peguam, Datuk Sankara Nair bagi pihak keluarga Ivana berkata, keputusan mahkamah itu telah memberi pengiktirafan terhadap kelemahan yang berlaku dalam siasatan sebelum ini.

Beliau berkata, keluarga itu menegaskan bahawa pampasan RM1.1 juta bukanlah perkara utama, sebaliknya pengesahan bahawa mereka tidak berhalusinasi di sepanjang lapan tahun memperjuangkan keadilan buat Ivana.

“Ahli keluarga tahu Ivana tidak akan kembali, tetapi sekurang-kurangnya merasa puas kerana siasatan baharu akan dijalankan.

“Selepas ini, pihak-pihak yang bertanggungjawab tidak akan tidur lena,” kata kenyataan tersebut.