KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan seorang lelaki kerana disyaki memiliki 750 liter minyak diesel tanpa permit pada Isnin.
Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata, lelaki terbabit terlebih dahulu ditahan bersama kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara oleh pasukan polis peronda lebuh raya di Plaza Tol Kuantan di sini.
Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, KPDN Pahang melaksanakan operasi penguatkuasaan dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan tersebut membawa muatan minyak diesel yang diisi dalam dua buah tong dram.
“Hasil pemeriksaan menyeluruh mendapati lelaki itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan melanggar Subperaturan 18(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu menggunakan atau mengambil mana-mana barang berjadual melebihi kuantiti yang dibenarkan seperti dijadual tanpa permit.
“Susulan itu, KPDN Pahang telah menyita minyak diesel bersama kenderaan pacuan empat roda yang digunakan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jezlily berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM42,340.
Sementara itu, katanya, KPDN memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat agar sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau berkata, bagi individu yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], mereka berdepan denda tidak melebihi RM1 juta jika disabitkan bagi kesalahan pertama.
“Bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta untuk kesalahan pertama dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, KPDN akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta membanteras sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan demi melindungi kepentingan pengguna dan negara.