25,000 ahli farmasi lancar deklarasi perangi vape

Iklan
Dr Amrahi (tengah) menyampaikan mesej tegas dan lantang mengenai peningkatan penggunaan vape, khususnya dalam kalangan remaja.

SHAH ALAM - Seramai 25,000 ahli farmasi dari seluruh negara bergabung di bawah satu suara melalui Deklarasi Nasional Menentang Vape dan Rokok yang dilancarkan sempena National Pharmacists Convention (NPC) 2025 di Hotel Marriott Putrajaya, Jumaat lalu.

Presiden Persatuan Ahli Farmasi Malaysia (MPS), Profesor Dr Amrahi Buang berkata, inisiatif bersejarah itu menegaskan pendirian tegas profesion farmasi Malaysia dalam membanteras ancaman ketagihan nikotin yang semakin meruncing khususnya dalam kalangan generasi muda.

Iklan
Iklan

Dr Amrahi menyampaikan mesej tegas dan lantang mengenai peningkatan penggunaan vape, khususnya dalam kalangan remaja.

Beliau mengecam tindakan industri yang agresif menyasarkan golongan muda dan menekankan keperluan mendesak bagi tindak balas nasional yang tersusun.

Iklan

"Ini bukan sekadar krisis kesihatan, ia adalah kegagalan etika dan masyarakat. Kami tidak akan berdiam diri apabila budaya vape menyasarkan anak-anak kita. Deklarasi ini adalah garis pertahanan kita," katanya.

NPC 2025 bertemakan 'Pharmacy United: Advancing Healthcare through Innovation, Collaboration & Resilience' dirasmikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng.

Iklan

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan konvensyen tersebut menjadi platform strategik yang menyatukan ilmu, pengalaman dan tindakan bagi memperkukuh peranan ahli farmasi dalam reformasi kesihatan negara.

Beliau turut menyorot inisiatif seperti Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) yang disifatkannya sebagai usaha mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem kesihatan dan memperkukuh kerjasama serantau di bawah Deklarasi ASEAN mengenai Keselamatan dan Daya Tahan Bekalan Ubat (ADSSR).

"Ahli farmasi kini menjadi jambatan antara dasar dan pelaksanaan, antara akses dan etika, antara penjagaan dan penyembuhan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Amrahi memberi amaran keras mengenai lonjakan penggunaan vape di Malaysia terutama dalam kalangan remaja.

Beliau mendedahkan data semasa yang menunjukkan 14.9 peratus remaja Malaysia adalah pengguna e-rokok aktif, manakala lebih 20 peratus pernah mencuba merokok, ramai daripadanya seawal usia 14 tahun.

Dr Amrahi turut menegaskan pendirian sahaja tidak mencukupi tanpa tindakan.

"Kami menyeru Kementerian Kesihatan (KKM), Parlimen dan semua pihak dalam ekosistem kesihatan, biayai, lengkapkan dan percayakan kami untuk memimpin perjuangan ini.

"Bersama, kita akan bina Malaysia yang bebas asap, vape dan penuh harapan untuk generasi akan datang," katanya.

Deklarasi berkenaan turut menetapkan enam komitmen utama ahli farmasi di seluruh negara iaitu menolak semua bentuk bahaya vape dan tembakau termasuk peranti elektronik; menyokong Generational End Game (GEG) serta mengembalikan cecair nikotin ke dalam Akta Racun; memimpin usaha berhenti merokok melalui perkhidmatan mQuit dan kaunseling farmasi.

Antaranya lagi, menolak sebarang campur tangan industri termasuk kempen CSR berselindung; memperkasa perlindungan belia dengan sekatan perisa, pembungkusan dan iklan; serta memperjuangkan ruang awam bebas asap dan vape di sekolah, farmasi, taman, pengangkutan awam dan rumah ibadat.

MPS turut menyatakan sokongan padu terhadap pendirian berprinsip Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyeru larangan menyeluruh produk vape di seluruh negara.

NPC 2025, yang berlangsung dari 25 hingga 27 Julai, merangkumi lebih 40 sesi termasuk syarahan plenari, perbincangan dasar kesihatan, dan forum kepakaran farmasi dari Malaysia, Singapura, Hong Kong, dan Amerika Syarikat.

Konvensyen tersebut turut menampilkan pameran industri, sesi komuniti, serta pelancaran Maya Pharmacy Adventure Book sebagai bahan pendidikan khas untuk kanak-kanak.