'Sampai demam sebab terkejut jumpa gajah di dusun durian'

Iklan
Seramai 21 kakitangan dibantu petugas Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah menjayakan operasi pemindahan gajah di Kampung Lasah, Sungai Siput pada Isnin. Gambar kecil dari kiri: Aminah Halan, Mariam

SUNGAI SIPUT - Seorang wanita warga emas mengalami demam kerana terkejut pertama kali terserempak dengan seekor gajah liar di dusun durian miliknya di Kampung Lasah di sini, minggu lalu.

Mariam Hitam, 63, berkata, menjadi rutin hariannya menjenguk dusun setiap hari untuk membersihkan dan mengambil hasil apabila tibanya musim buah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sekitar jam 9 pagi itu, dia menyangkakan bunyi seperti ranting dipijak itu adalah perbuatan monyet yang sering mengganggu tanaman penduduk.

"Saya tepuk tangan buat bunyi bising bagi menghalau monyet, apabila dekat dengan kawasan semak saya nampak belakang gajah.

Iklan

"Saya yang berdebar ketika itu perlahan-lahan jalan mengundur sebelum buka langkah seribu bagi mendapatkan bantuan penduduk lain," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Gajah liar diberi nama Yob Lasah (kanan) akan dilepaskan ke habitat bersesuaian bagi mengurangkan konflik hiwan liar dan penduduk di Sungai Siput.

Iklan

Mariam berkata, selama 40 tahun jaga kebun, dia tidak pernah terserempak dengan mamalia itu melainkan terdengar bunyi tempik dari hutan berhampiran.

"Kebiasaannya kita akan jumpa tahi atau kesan lain kerana gajah ini keluar cari makan pada malam hingga subuh bukannya waktu siang.

"Kejadian itu membuatkan saya demam dan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran," katanya.

Bagi penoreh getah, Aminah Halan Abdullah, 52 berkata, kehadiran kumpulan gajah bukanlah asing buat penduduk setempat dan dia sentiasa berhati-hati ketika keluar menoreh.

"Waktu jaga kebun durian sebelum ini, dengar sahaja bunyi tempik, terus lari balik rumah kerana bimbang terserempak dengan gajah liar.

"Banyak kali gajah masuk kawasan sekitar tetapi saya tetap keluar menoreh, pergi kebun kerana inilah hasil pendapatan menyara keluarga," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, dua ekor gajah liar berjaya ditangkap sejak 21 Julai lalu sebaik menerima laporan daripada penduduk.

Menurutnya, dua gajah jantan yang dianggarkan berusia 25 tahun itu masing-masing seberat dua dan 2.5 tan itu berjaya ditangkap di kawasan hutan kampung berkenaan.

"Operasi pemindahan gajah dilakukan secara berperingkat membabitkan 21 kakitangan dibantu petugas Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah dengan menggunakan kaedah tembakan pelali untuk menenangkannya.

"Dua gajah denak betina iaitu Rambai dan Cherry turut digunakan untuk memujuk gajah liar berkenaan bagi memudahkan proses pemindahan," katanya.

Tambah beliau, gajah liar tersebut akan dilepaskan ke habitat bersesuaian.