Jual makanan RM2 sepinggan, peniaga buntu masih kurang pelanggan

Iklan
Zuliana menunjukkan menu makanan murah di kedainya.

KOTA BHARU – Seorang peniaga kedai makan di Kampung Serdang Muda, Melor di sini, meluahkan rasa buntu apabila jualan makanan semurah RM2 sepinggan masih gagal menarik ramai pelanggan, walaupun perniagaannya telah beroperasi sejak lima tahun lalu.

Zuliana Zakaria, 41, berkata, beliau mengekalkan lebih 10 jenis menu pada harga RM2, termasuk nasi ayam, mi celup, mi kari, laksa penang dan sagu melaka, namun jumlah pelanggan berkurang hampir 80 peratus sejak Mac lalu.

Iklan
Iklan

“Kadang-kadang pada hari biasa, pelanggan hanya dua meja sahaja.

“Jumaat dan Sabtu baru nampak ramai sikit, pernah penuh, tapi makin lama makin kurang,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Kedai makan ini dibuka ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020.

Zuliana berkata, lokasi kedainya yang terletak kira-kira 800 meter dari jalan utama dan berada dalam kawasan sawah padi menyukarkan orang luar untuk mengetahui kewujudannya.

Iklan

“Penduduk Melor pun masih ramai tak tahu.

“Ramai yang sampai sini akan cakap ‘baru tahu ada kedai sini’, sebab kedai dalam kampung dan tak nampak dari jalan besar,” ujarnya.

Menurut ibu kepada enam anak itu, beliau pernah menggunakan khidmat pempegaruh media sosial untuk tujuan promosi, yang menelan kos antara RM600 hingga RM700 setiap kali, namun hasilnya hanya bertahan sementara.

“Bermusim saja orang ramai datang, lepas itu meja kosong semula.

“Sedangkan pelanggan yang datang beri maklum balas makanan sedap dan kuantiti sesuai dengan harga RM2,” katanya.

Kedai makan itu dibuka ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 selepas beliau berhenti kerja sebagai guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Port Dickson, Negeri Sembilan dan pulang ke kampung untuk menjaga ibunya yang tinggal seorang diri.

“Saya buka kedai makan ini semasa PKP dengan niat nak bantu orang lain, sebab waktu itu pun ramai hilang kerja.

“Suami yang bekerja sebagai kakitangan awam pun berhenti kerja untuk jaga ibu. Memang kami nak bantu orang, berniaga sambil bersedekah. Dulu arwah bapa meniaga ikan, ibu pula buat kuih, mereka jual murah-murah. Saya sambung cara mereka,” katanya.

Menurut Zuliana, bukan sahaja makanan dijual pada harga rendah, malah minuman seperti 'teh beng' dan sirap dijual masing-masing RM1, manakala ais kacang berharga RM3.

Lebih menarik, kedai makan itu turut menyediakan kolam mandi untuk riadah kanak-kanak dengan caj RM3 seorang, selain kemudahan bilik air dan surau untuk pelanggan.

Zuliana berkata, beliau masih menggaji tujuh orang pekerja, termasuk ibu tunggal dan individu daripada kelompok kurang berkemampuan.

“Saya tak buang pekerja walaupun untung sedikit kerana jual makanan murah. Makan minum mereka pun saya tanggung, tapi lepas bayar gaji staf, memang tinggal kosong.

“Saya fikir orang susah pun nak makan sedap, jadi saya nak mereka rasa boleh makan di kedai tanpa malu. Tapi sekarang, jual murah RM2 pun orang tak datang,” luahnya.