RON95 RM1.99 seliter langkah berani lindungi rakyat, kawal ketirisan subsidi

Iklan
Harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia sahaja dilihat sebagai langkah berani kerajaan dalam menguruskan subsidi bersasar dan melindungi kepentingan rakyat.

Langkah itu sekali gus menamatkan persoalan berhubung pelaksanaan subsidi bersasar bahan api yang telah dibincangkan sejak beberapa tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurut Anwar, harga berkenaan tidak akan dinikmati oleh warga asing termasuk pelancong, pekerja asing dan mereka yang memandu masuk dari negara jiran seperti Singapura.

Pendekatan baharu itu bertujuan mengekang kebocoran subsidi yang selama ini turut dinikmati warga asing.

Iklan

Ketegasan kerajaan bahawa subsidi hanya untuk rakyat Malaysia sejajar dengan prinsip keadilan fiskal dan kebertanggungjawaban dalam perbelanjaan negara, namun langkah itu turut menuntut kesiapsiagaan daripada rakyat.

Golongan pengguna disaran supaya lebih bijak merancang perjalanan dan mempertimbangkan penggunaan pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan bagi menjimatkan kos harian serta mengoptimumkan manfaat subsidi dinyatakan.

Iklan

Pada masa sama, kerajaan turut mengumumkan bantuan tunai RM100 secara one-off kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Meskipun jumlahnya dilihat kecil, ia adalah langkah awal untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi tekanan kos sara hidup dan ahli politik diingatkan supaya tidak mempolitikkan isu subsidi bersasar.

Mereka sebaliknya perlu bersama-sama kerajaan dalam memastikan pelaksanaan bantuan dan subsidi sampai kepada kumpulan sasar tanpa penyelewengan.

Justeru sudah tiba masanya untuk membudayakan sikap berjimat cermat dan menyokong inisiatif kerajaan dalam memperkukuh ekonomi negara dengan tanggungjawab ini perlu dipikul bersama.

Dalam masa sama, langkah subsidi bersasar memberi ruang kepada kerajaan menyalurkan penjimatan kepada sektor kritikal lain seperti pendidikan, kesihatan serta program pembangunan luar bandar yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.