PUTRAJAYA – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi inisiatif Malaysia Energy Literacy Program (MELP) komited meningkatkan kefahaman rakyat terhadap isu tenaga dan cabaran transisi ke arah tenaga boleh baharu.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, MELP diwujudkan sebagai platform literasi tenaga kebangsaan bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan peralihan tenaga sejajar matlamat negara mencapai sifar karbon menjelang tahun 2050.
Menurutnya, Malaysia kini berada di fasa penting dalam usaha menuju peralihan tenaga dan inisiatif seperti MELP berperanan sebagai pemangkin untuk merapatkan jurang kefahaman antara dasar kerajaan dan penerimaan masyarakat.
“Kita bukan hanya mahu gubal dasar atau perkenalkan polisi, tetapi lebih penting ialah memastikan rakyat bersedia menerima perubahan tersebut.
“Pelbagai usaha dilaksanakan termasuk melalui capaian di media sosial atau laman web bagi memudahkan orang ramai merujuk isu peralihan tenaga serta program MELP yang lain.
“Sebab itu cabarannya ialah meyakinkan rakyat bahawa penggunaan tenaga boleh baharu akan beri kelebihan kepada negara dalam jangka tertentu walaupun perubahan itu bukan mudah serta memerlukan kesediaan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Sabtu.
Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang muncul johan bagi kategori Bahasa Melayu, manakala Sekolah Sultan Alam Shah menjuarai kategori Bahasa Inggeris.
Akmal Nasrullah menjelaskan, MELP yang dibentuk dengan penglibatan agensi utama berkaitan tenaga antaranya PETRA, Suruhanjaya Tenaga, SEDA Malaysia serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan akan merangka pelbagai program kesedaran yang menyeluruh merentasi pelbagai lapisan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MELP itu berkata, sambutan terhadap dasar seperti pemasangan solar di bumbung melalui inisiatif Net Energy Metering (NEM) amat menggalakkan, namun usaha mendidik masyarakat tentang kelebihan dan cabaran tenaga boleh baharu masih perlu diperkukuh.