SHAH ALAM – Tujuh jenis perusahaan sosial diperkenalkan dan dijangka beroperasi bermula September tahun ini menerusi gerakan Ayuh Malaysia 2025 bagi menjamin kebajikan ekonomi serta sosial masyarakat.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, antara perusahaan sosial yang dibangunkan ialah FlexiMart, iaitu kedai runcit harga berpatutan berkonsepkan 'isi semula' atau beli mengikut keperluan sahaja manakala Kesum (Kenyang, Sedap, Murah) pula membolehkan orang ramai membeli juadah sarapan, makan tengah hari dan makan malam pada harga hanya RM5.
Selain itu, katanya, terdapat juga bantuan bumbung solar kepada keluarga berpendapatan rendah menerusi inisiatif Suria; program kenegaraan dan penerapan kesedaran sivik (SagaSivik); CLIB iaitu latihan memasuki alam pekerjaan untuk belia dan lepasan pendidikan tinggi; latihan baik pulih gajet terpakai yang kemudian disewa serendah RM10 setahun menerusi PinjamGajet; serta pertanian moden keledek atas tanah terbiar menerusi TanamDuit.
Jelas beliau, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada misi membangunkan sektor ketiga dalam ekonomi negara, iaitu perusahaan yang bermatlamatkan masyarakat tetapi dibiayai secara lestari melalui operasi perniagaan yang cekap dan berdaya saing.
Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, pasukannya telah menjalankan ujian rintis terhadap ketujuh-tujuh perusahaan sosial tersebut secara senyap-senyap sejak Mei lalu sebelum mengumumkannya secara rasmi.
“Kesemua perusahaan sosial tersebut telah pun mempunyai rakan kongsi ekuiti, aset dan operasi. Kini, semuanya dalam proses akhir untuk mula beroperasi pada September tahun ini.
“Perusahaan sosial bergantung kepada sokongan orang ramai. Cara untuk membantu mengembangkannya adalah dengan menyokong serta membeli produk dan perkhidmatan untuk kegunaan sendiri.
“Selain itu, orang ramai juga boleh menyumbang melalui pembiayaan orang ramai (crowdfunding) bagi membiayai pembelian produk dan perkhidmatan untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan, serta mengurangkan kos operasi Ayuh Malaysia yang menguruskan perusahaan sosial ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan gerakan Ayuh Malaysia 2025 di Dewan Mutiara, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur yang turut disiarkan secara langsung di Facebook pada Ahad.
FlexiMart bakal dibuka di Shah Alam dengan menyasarkan mahasiswa dan golongan muda; Kesum di Pandan Indah; Suria di Petaling Jaya; SagaSivik di Setiawangsa; CLIB di Ampang; PinjamGajet di Selayang; serta TanamDuit di Rembau.
Ayuh Malaysia berperanan sebagai hab sehenti bagi menyokong pertumbuhan perusahaan sosial, iaitu entiti perniagaan yang tidak hanya berorientasikan keuntungan tetapi memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
Menerusi perkongsian tersebut, Rafizi turut membentangkan ciri-ciri perusahaan sosial, model perniagaan serta contoh pra dan pasca keuntungan sebagai pencerahan kepada penonton.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya akan menyediakan program latihan dan saringan bagi membantu individu yang masih belum jelas tentang konsep sebenar perusahaan sosial.
“Daripada proses latihan dan saringan ini juga, kita boleh padankan peserta dengan pelabur atau pihak yang bersedia menyediakan modal untuk membangunkan perusahaan sosial,” ujarnya.