JOHOR BAHRU - Empat pegawai penguat kuasa direman enam hari sehingga 1 Ogos 2025 kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 ketika bertugas di kaunter penyeliaan zon masuk motosikal sempadan Johor-Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Mohammad Izham Mohd Aliyas setelah permohonan dikemukakan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 pada pagi Ahad.
Kesemua suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an tiba di mahkamah pada jam 9.18 pagi dengan berpakaian lokap warna jingga dan diiringi pegawai SPRM.
Terdahulu, dua pegawai penguat kuasa ditahan oleh Unit Pematuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam satu pemeriksaan mengejut kerana disyaki terlibat dalam kegiatan salah laku 'pasport terbang' di Kompleks CIQ, BSI pada Jumaat.
Susulan tangkapan itu, dua lagi pegawai penguat kuasa turut ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kegiatan sama.
Hasil pemeriksaan terhadap suspek, sebanyak 14 pasport milik warga asing, empat telefon bimbit serta wang tunai berjumlah kira-kira RM3,000 yang dipercayai hasil aktiviti rasuah berjaya ditemukan.
Malah difahamkan, bayaran sekitar RM200 dikenakan bagi setiap pasport yang dicop tanpa kehadiran pemilik dan kesemua suspek dipercayai menerima imbuhan hasil perbuatan tersebut.
SPRM kini turut menyiasat kemungkinan wujud pembabitan lebih ramai pegawai termasuk kewujudan sindiket lebih besar di sebalik kegiatan berkenaan.