ALOR SETAR - Sebanyak 75 peratus daripada mangsa jenayah seksual yang dilaporkan setiap tahun terdiri daripada individu berusia di bawah 18 tahun.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, data tersebut menunjukkan peningkatan ketara kes jenayah seksual terhadap remaja dan kanak-kanak di seluruh negara, sekali gus membimbangkan pihak berkuasa.
Menurutnya, angka tersebut hanya merangkumi kes-kes yang telah dilaporkan kepada pihak berkuasa, dan kemungkinan terdapat banyak lagi kes yang tidak dilaporkan.
“Apabila dilihat dari sudut mangsa, kanak-kanak merangkumi peratusan yang tinggi daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan.
“Dalam kebanyakan kes, pelaku merupakan individu yang dikenali oleh mangsa. Ini menjadi cabaran besar kepada pegawai penyiasat kerana sukar untuk mendapatkan bukti sokongan yang kukuh,” katanya.
Saifuddin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) baharu di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Derga, pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Saifuddin turut mendedahkan bahawa jumlah kes jenayah melibatkan wanita dan kanak-kanak di Kedah meningkat lebih dua kali ganda sejak beberapa bulan lalu, dengan purata 42 kes dilaporkan setiap bulan bagi separuh pertama tahun ini.
“Jika kita fokus kepada Kedah, data pada tahun 2024 menunjukkan purata 16 kes sebulan. Namun, bagi enam bulan pertama tahun ini, jumlah itu meningkat kepada 42 kes sebulan,” katanya.
Mengulas mengenai penubuhan CIC, Saifuddin berkata, ia bertujuan memperkukuh siasatan terhadap kes jenayah melibatkan kanak-kanak, khususnya dalam aspek pengumpulan bukti sokongan bagi melengkapkan siasatan.
“Pusat ini menjalankan sesi temuduga mangsa kanak-kanak secara teratur mengikut piawaian yang diterima pakai di mahkamah. Sesi ini dirakam dan rakaman temuduga itu boleh digunakan dalam prosiding perbicaraan.
“Tidak seperti siasatan jenayah konvensional, pegawai yang bertugas di CIC menjalani latihan khas dalam bidang psikologi, kaunseling dan pengendalian trauma,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 31 buah CIC telah beroperasi di seluruh negara, termasuk dua di negeri Kedah.
Tegasnya, undang-undang sedia ada telah digunakan secara berkesan, namun kerajaan bersikap terbuka untuk membuat pindaan sekiranya terdapat keperluan.
Beliau turut berpuas hati terhadap komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pegawai-pegawai D11 serta memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menyokong dari segi sumber manusia, latihan, peralatan dan logistik.
“Kita akan terus memperkukuh keupayaan mereka, memperbaiki kerjasama antara agensi dan menilai sebarang keperluan untuk pindaan undang-undang demi melindungi mangsa,” katanya.
Tambah Saifuddin, kerajaan bukan hanya membina kepakaran dalaman, tetapi turut mendapatkan kepakaran luar terutama dalam program latihan menerusi perkongsian pintar.
“Kita akan tingkatkan aspek kerjasama di peringkat antarabangsa dengan perluasan kerjasama antara agensi. Dengan cara ini, CIC akan berperanan sebagai unit penting dalam menangani kes jenayah seksual kanak-kanak.
“Ini kerana kes yang dikendalikan CIC di seluruh negara yang melibatkan kanak-kanak dianggarkan merangkumi 75 peratus daripada lebih 6,000 kes pada tahun 2023,” katanya.