Bekas pekerja ladang maut, motosikal terbabas masuk parit

Iklan
Seorang bekas pekerja ladang maut selepas motosikalnya terbabas ke dalam parit di Rantau. Foto JBPM Negeri Sembilan

RANTAU – Seorang bekas pekerja ladang maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan jatuh ke dalam parit ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ladang Marjorie di sini pada malam Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, mangsa dikenali sebagai R Nagarajan, 62, ditemui lemas oleh pasukan penyelamat selepas hampir dua jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

Iklan
Iklan

Mayat mangsa ditemui lemas selepas operasi menyelamat hampir dua jam. Foto: JBPM Negeri Sembilan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau, Mohd Syazwan Saidy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.53 malam dan tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.

Iklan

“Mangsa dipercayai menunggang motosikal dari Pekan Rantau menuju ke rumahnya di Ladang Marjorie sebelum hilang kawalan dan terjatuh ke dalam parit sedalam tiga meter.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terbabas masuk parit. Foto: JBPM Negeri Sembilan.

Iklan

“Pasukan penyelamat menjalankan pencarian di permukaan air serta menyusuri tebing parit sebelum menemui mayat mangsa pada jam 12.05 pagi,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, operasi melibatkan seramai 12 anggota termasuk dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Teluk Kemang serta Bomba Bantuan (PBB) BBP Rantau.

Ujar beliau, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk bedah siasat.