IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak akan mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan membeli barangan dalam Program Jualan Rahmah Madani (PJRM).
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, taktik ini mula dikesan pada awal pelaksanaan PJRM apabila terdapat individu yang berulang-alik melakukan pembelian, dipercayai untuk dijual semula bagi mengaut keuntungan.
Menurut beliau, tindakan tersebut bertentangan dengan tujuan asal program yang diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan.
“Ini antara cabaran kita. Dahulu, kita hadkan pembelian barangan, namun terdapat permintaan untuk meningkatkan kuantiti barangan sehingga empat unit dan sebagainya.
“PJRM ini bukanlah untuk peniaga. Barangan yang dijual lebih murah, contohnya sabun yang biasanya dijual pada harga RM35 di luar, tetapi di sini boleh didapati antara RM23 hingga RM24, memang jimatlah,” katanya kepada pemberita semasa sesi Walkabout PJRM KPDN Perak di Bangunan Persekutuan Greentown, di sini pada Jumaat.
Kamalludin berkata, pihaknya akan menempatkan pegawai bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta rakan strategik lain bagi mengenal pasti pengunjung yang membuat pembelian mencurigakan di setiap lokasi program.
“Sudah dua tahun kita melaksanakan PJRM, jadi kita sendiri boleh kenal pasti mereka yang berulang kali membuat pembelian. Kita akan tahan dan pegawai kita tidak akan benarkan mereka beratur lagi.
“Pada awal pelaksanaan dahulu memang ramai peniaga yang terlepas, tetapi kini kita sudah kenal pasti dan memberi amaran. Mereka juga mungkin akan disenarai hitam,” katanya.