Enam CSO tolak dakwaan Hamzah sokong perubahan kerajaan sebelum PRU

Iklan
Kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh enam CSO pada Jumaat.

SHAH ALAM - Enam pertubuhan masyarakat sivil (CSO) menolak dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa mereka menyokong perubahan kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) seperti Langkah Sheraton yang mengucar-ngacirkan politik negara di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Menerusi satu kenyataan bersama pada Jumaat, mereka menyatakan bahawa meskipun berlaku pertukaran kerajaan, ia belum tentu menjamin komitmen yang jelas dan bersungguh untuk melaksanakan reformasi institusi, malah mungkin terlalu rapuh untuk melakukan sebarang perubahan yang bermakna.

Iklan
Iklan

Menurut enam CSO berkenaan, mereka lebih ingin melihat pelaksanaan reformasi institusi yang dapat menyediakan gelanggang sama rata untuk semua parti menjelang PRU16.

"Kami sekali lagi menegaskan bahawa semua pihak, terutama kerajaan dan pembangkang, perlu mengangkat agenda reformasi yang tulen.

Iklan

"Pembangkang juga memikul beban tanggungjawab kepada rakyat untuk melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan demi kebaikan negara.

"Negara kita mempunyai banyak potensi untuk ditawarkan di peringkat antarabangsa dan potensi ini dapat direalisasikan jika kita menjunjung nilai-nilai hak asasi manusia, tadbir urus yang baik dan kebertanggungjawaban yang tinggi," menurut kenyataan itu.

Iklan

Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH); Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center); Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS); Projek Sama; Pusat KOMAS dan Transparency International Malaysia.

Tambah kenyataan itu, di peringkat rakyat, CSO akan terus berada di atas landasan menuntut reformasi institusi sebagai satu blok penting yang mewakili suara dan tuntutan rakyat.

"Posisi itu penting sebagai mekanisme semak dan imbang kepada agenda reformasi mana-mana gabungan politik," ujar mereka.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama, CSO berkenaan turut menjelaskan mengenai pertemuan mereka dengan Hamzah pada 1 Julai lalu, yang dikaitkan dengan Himpunan Turun Anwar yang dirancang pembangkang pada Sabtu.

Katanya, pertemuan itu tidak mempunyai agenda khusus, tetapi merupakan peluang terbaik kepada CSO terlibat untuk mengajukan cadangan-cadangan reformasi institusi penting agar dapat diangkat oleh Perikatan Nasional (PN), khususnya Ketua Pembangkang.

"Kami percaya negara memerlukan satu reformasi institusi yang menyeluruh, kukuh dan bermakna agar kita sebagai sebuah masyarakat dapat bergerak ke hadapan dengan sistem politik dan keadilan yang lebih baik.

"Reformasi institusi adalah benteng untuk rakyat melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan serta para penguasa, agar tidak menyalahgunakan institusi dan kuasa yang diberikan kepada mereka demi kepentingan politik atau peribadi.

"Atas premis ini, kami sedia, malah telah pun berjumpa, berbincang dan berforum dengan ahli-ahli Parlimen merentas parti politik bagi mendesak agar agenda reformasi ini dilaksanakan oleh Kerajaan Madani," jelas mereka.

CSO berkenaan menegaskan bahawa setiap libat urus harus berasaskan kepada iltizam bersama untuk membawa perubahan, serta nilai kebersamaan, ketelusan dan kejujuran.

Tambahnya, reformasi institusi yang menyeluruh dan kukuh ini hanya dapat dilaksanakan dengan sokongan dan dukungan semua pihak, baik kerajaan mahupun pembangkang.

"Ini berdasarkan pengalaman dan pengajaran politik negara sejak pertukaran kerajaan pada tahun 2018, Langkah Sheraton, pertukaran beberapa Perdana Menteri, serta Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Keluarga Malaysia dan Pakatan Harapan.

"Kami mahu melihat lebih banyak reformasi institusi daripada apa yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Madani," ujar mereka.