SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua peserta Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung di ibu negara pada 26 Julai ini agar menjaga tatasusila serta tidak mencetuskan sebarang provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut memohon agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) memastikan keamanan dan keselamatan orang awam sepanjang perhimpunan berlangsung.
“Saya menyeru semua peserta untuk menjaga adab dan mematuhi undang-undang. Jangan cetuskan sebarang provokasi yang mengganggu ketenteraman awam.
“Ingat, menyertai perhimpunan aman adalah hak setiap rakyat Malaysia yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalangnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Muhyiddin berkata, beliau dan rakan-rakan pimpinan PN akan turun bersama rakyat dalam perhimpunan itu bagi menyatakan pendirian terhadap kegagalan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, pelbagai janji yang dibuat Perdana Menteri tidak ditunaikan termasuk isu kos sara hidup yang kian menekan rakyat.
“Sudahlah isu beban hidup gagal ditangani, banyak pula cukai baharu diperkenalkan dan subsidi pula dipotong. Ini menambah beban rakyat.
“Malah, janji untuk menjamin kebebasan bersuara juga dicabuli apabila semakin ramai rakyat biasa diugut, disiasat dan didakwa hanya kerana menyatakan bantahan terhadap dasar kerajaan,” ujarnya.
Menurut bekas Perdana Menteri itu lagi, pengumuman bantuan tunai RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan penurunan harga petrol RON95 sebanyak enam sen baru-baru ini disifatkan sebagai langkah terdesak kerajaan untuk meredakan kemarahan rakyat.
“Ia bukan penyelesaian sebenar. Apa yang rakyat mahukan ialah semakan semula terhadap pengenaan pelbagai cukai dan pemotongan subsidi yang membebankan mereka. Malangnya, itu tidak dilakukan,” tegasnya.
Justeru, beliau mengajak rakyat Malaysia menyertai himpunan aman berkenaan sebagai tanda solidariti menuntut pembelaan terhadap tekanan ekonomi yang sedang dihadapi rakyat ketika ini.