KETIKA dunia tertumpu kepada konflik bersenjata, ketegangan geopolitik dan krisis iklim, satu lagi ancaman senyap sedang merebak wabak kolera yang kembali menular pada skala membimbangkan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan bertarikh 24 Julai 2025 mendedahkan sebanyak 305,000 kes kolera direkodkan di 28 buah negara sejak awal tahun ini, melibatkan sekurang-kurangnya 3,522 kematian.
Angka ini jauh lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu dan membuktikan bahawa kolera bukan lagi isu terpencil, sebaliknya krisis kesihatan awam global yang mendesak perhatian segera.
Kolera ialah penyakit berjangkit yang berpunca daripada bakteria Vibrio cholerae, yang disebarkan melalui makanan atau air yang tercemar dengan najis manusia.
Penularannya berlaku pantas di kawasan yang tiada sistem sanitasi berfungsi.
Gejala utama termasuk cirit-birit berair yang teruk, muntah, kejang otot, dan dehidrasi melampau. Sekiranya tidak dirawat segera, ia boleh menyebabkan kematian dalam masa beberapa jam.
Penyakit ini mudah dicegah dan dirawat, namun dalam situasi darurat seperti bencana, konflik bersenjata dan kemiskinan melampau, pesakit sering gagal mendapatkan rawatan atau air bersih.
Negara paling terjejas ketika ini termasuk Sudan, Ethiopia, Haiti, Zimbabwe dan Afghanistan yang kebanyakannya berdepan konflik, krisis kemanusiaan atau infrastruktur kesihatan yang lumpuh.
Di Sudan, pertempuran yang berlarutan menghancurkan sistem bekalan air dan rawatan asas, manakala di Haiti, ketidakstabilan politik menyukarkan pelaksanaan tindak balas wabak.
Peningkatan kes kolera juga berkait rapat dengan kelemahan akses kepada vaksin oral. WHO sebelum ini terpaksa mengehadkan pemberian dua dos vaksin kepada hanya satu dos kerana kekurangan stok.
Langkah itu diambil secara darurat sejak 2022 dan diteruskan sehingga kini, namun ia tidak memberikan perlindungan jangka panjang yang mencukupi dalam kalangan populasi berisiko tinggi.
Realitinya, hampir dua bilion manusia di dunia masih bergantung kepada sumber air tidak selamat. Selagi jurang ini tidak ditangani, kolera akan terus muncul sebagai pembunuh senyap di banyak negara miskin.
Malaysia setakat ini tidak terjejas secara langsung, namun risiko kemasukan kes import tetap wujud memandangkan peningkatan pergerakan rentas sempadan, pelancongan dan perdagangan makanan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus kekal berwaspada dengan memperkukuh sistem pengawasan wabak, khususnya di lapangan terbang, pelabuhan, dan kawasan tumpuan awam berisiko tinggi.
Perubahan iklim juga menyumbang kepada peningkatan risiko penularan kolera, terutama apabila banjir, kemarau dan pencemaran air semakin kerap berlaku di seluruh dunia.
Isu kolera bukan semata-mata soal penyakit, tetapi mencerminkan jurang ketidaksamarataan global antara negara kaya yang mempunyai air bersih, dan negara miskin yang terus bergantung kepada sumber tercemar.
Tanpa sistem sanitasi yang kukuh dan infrastruktur rawatan air yang moden, sebarang usaha menamatkan wabak ini akan terus bersifat sementara dan reaktif.
WHO menyeru negara-negara maju untuk meningkatkan sokongan teknikal, kewangan dan vaksin kepada negara terjejas bukan hanya ketika krisis memuncak, tetapi dalam bentuk pelaburan jangka panjang.
Krisis kolera yang sedang melanda dunia hari ini ialah peringatan jelas bahawa kesihatan sejagat menuntut keadilan sosial, bukan sekadar rawatan. Selagi air bersih tidak dianggap sebagai hak asasi manusia, kolera akan terus menagih korban.