PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan sebanyak 20,000 siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dilaksanakan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sasaran itu susulan suntikan dana tambahan sebanyak RM300 juta seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.
Menurut beliau, pelaksanaan PJRM akan diperluaskan meliputi semua 222 kawasan Parlimen, 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 zon di Wilayah Persekutuan.
“Setakat 22 Julai, sebanyak 12,441 siri PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara dan kita masih mempunyai tempoh lima bulan untuk mencapai sasaran 20,000 siri,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan PJRM di lobi kementerian di sini pada Khamis.
Armizan berkata, pihak kementerian akan memberi tumpuan kepada tiga elemen penambahbaikan utama dalam pelaksanaan PJRM tahun ini, iaitu peningkatan kekerapan program, jumlah barangan ditawarkan (SKU) dan peluasan kerjasama dengan rakan strategik sektor peruncitan.
“Dengan penambahbaikan ini, rakyat akan mempunyai lebih banyak pilihan.
“Kementerian tidak boleh bergerak sendiri seperti sebelum ini. Kalau kita lihat dalam siri PJRM hari ini pun, ia turut dilaksanakan dengan kerjasama rakan peruncitan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan, rakyat boleh mendapatkan pelbagai barangan dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus bergantung kepada jenis produk.
“Jika sebelum ini ada SKU yang mendapat diskaun 10 peratus, maka dengan peruntukan tambahan ini, ia boleh meningkat kepada 30 peratus. Kadar diskaun masih ditetapkan antara 10 hingga 30 peratus,” katanya.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan lima langkah segera bagi meredakan tekanan kos sara hidup rakyat, meskipun kadar inflasi keseluruhan bagi Jun 2025 mencatatkan hanya 1.1 peratus – terendah dalam tempoh 52 bulan.
Langkah tersebut merangkumi bantuan tunai sekali bayar RM100 kepada semua rakyat berumur 18 tahun ke atas; pengisytiharan 15 September sebagai hari kelepasan am tambahan sempena Sambutan Hari Malaysia; peruntukan Program Jualan Rahmah Madani ditingkatkan kepada RM600 juta; penangguhan kenaikan kadar tol dan penurunan harga RON95 kepada RM1.99 menjelang akhir September.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, sebahagian besar SKU yang ditawarkan dalam PJRM disubsidi oleh kerajaan, namun terdapat juga rakan strategik yang memberikan diskaun tambahan secara sukarela.
“Kerjasama ini memberikan nilai tambah kepada rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, pertambahan SKU akan dibuat berdasarkan kajian permintaan di lokasi tertentu, termasuk mengambil kira musim perayaan.
“PJRM bukan hanya dilaksanakan di pasar raya. Kita juga akan laksanakan secara bergerak ke kawasan-kawasan yang diminta rakyat supaya lebih mudah diakses tanpa perlu keluar kos tambahan,” katanya.
Jelasnya lagi, KPDN turut menyediakan takwim pelaksanaan PJRM mengikut kawasan DUN yang boleh diakses melalui laman sesawang rasmi kementerian bagi memudahkan rakyat merancang pembelian.
“Kita mahu program ini benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat, khususnya golongan yang mencari alternatif barangan murah berbanding harga pasaran biasa,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai peruntukan PJRM bagi tahun hadapan, Armizan berkata, ia bergantung kepada sama ada dana RM300 juta itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Insya-ALLAH, kita akan habiskan RM300 juta ini menjelang akhir tahun. KPDN akan mengemukakan laporan pelaksanaan, prestasi serta impak seperti mana dilakukan sebelum ini kepada Kementerian Kewangan (MoF).
“Kita lihat sambutan sangat luar biasa hari ini. Jadi, sekiranya ada keperluan untuk penambahan peruntukan, ia bergantung kepada laporan pelaksanaan,” katanya.