RM63 juta lesap akibat penipuan e-dagang dalam enam bulan

Iklan
Rusdi

KUALA LUMPUR - Jenayah penipuan e-dagang menunjukkan trend membimbangkan apabila merekodkan kerugian melebihi RM63 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sebanyak 5,252 kes direkodkan antara Januari hingga Jun lalu, membabitkan pelbagai platform digital.

Iklan
Iklan

“Antara modus operandi paling lazim ialah penjual menawarkan barangan yang tidak wujud serta tidak dihantar walaupun bayaran telah dibuat oleh mangsa.

“Taktik lain termasuk laman web palsu yang kelihatan sah tetapi direka bentuk untuk mencuri maklumat peribadi dan kewangan, serta serangan ‘phishing’ melalui e-mel atau mesej yang menyamar sebagai syarikat e-dagang,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini, pada Rabu.

Iklan

Rusdi berkata, penipuan turut berlaku melalui tuntutan bayaran balik palsu serta penggunaan kad kredit yang dicuri dalam urus niaga.

“Pada tahun 2022, sebanyak 9,247 kes penipuan e-dagang direkodkan dengan kerugian melebihi RM139 juta. Jumlah itu meningkat kepada 10,372 kes pada 2023 dengan kerugian hampir RM175 juta.

Iklan

“Namun, pada tahun lalu berlaku sedikit penurunan, iaitu 7,662 kes dengan kerugian RM70.8 juta. Angka bagi tahun ini pula menunjukkan 5,252 kes dalam tempoh enam bulan dengan jumlah kerugian RM63.9 juta,” katanya.

Rusdi menasihatkan orang ramai supaya berurus niaga melalui platform sah yang mempunyai reputasi baik.

“Pengguna perlu menyemak penilaian dan ulasan daripada pelanggan lain sebelum membuat pembelian. Elakkan berkongsi maklumat sensitif seperti nombor kad pengenalan dan butiran bank secara sembarangan.

“Gunakan kaedah bayaran yang selamat dan boleh dikesan serta waspada terhadap tawaran harga yang terlalu murah dan tidak masuk akal,” katanya.