KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menjadi keldai akaun dengan menyerahkan akaun bank kepada pihak lain khususnya sindiket penipuan dalam talian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, sebanyak 39,006 akaun dikenal pasti digunakan sebagai keldai akaun sejak awal tahun hingga Isnin, dengan lebih 10,000 pemilik akaun sudah dituduh di mahkamah.
"Penglibatan dalam aktiviti ini adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 424A, 424B dan 424C Kanun Keseksaan.
“Pemilik akaun boleh dihukum denda sehingga RM150,000 dan penjara sehingga 10 tahun jika disabitkan kesalahan," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ pada Rabu.
Rusdi berkata, orang ramai beranggapan menyerahkan akaun kepada orang lain tidak salah.
"Tetapi sebenarnya mereka bersubahat dalam jenayah penipuan kewangan dan akan dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya.
Katanya, mengikut Seksyen 424A, individu yang memiliki instrumen pembayaran milik orang lain tanpa kuasa yang sah boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM50,000.
“Sementara itu, Seksyen 424B memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda RM100,000 bagi mereka yang menyerahkan akaun atau kawalan akaun kepada pihak lain.
“Seksyen 424C pula membabitkan penggunaan akaun bank sendiri atau orang lain bagi tujuan transaksi tanpa niat yang sah. Kesalahan ini membawa hukuman lebih berat iaitu penjara antara tiga hingga 10 tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM150,000,” katanya.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata statistik menunjukkan jumlah keldai akaun terus meningkat sejak tiga tahun kebelakangan ini, dengan 46,738 akaun dikenal pasti pada 2023 dan 51,197 akaun pada 2024.
“Daripada jumlah itu, lebih 35,000 pemilik akaun pada 2023 dan 33,000 pada 2024 sudah dituduh di mahkamah, manakala 10,635 pertuduhan dibuat setakat Julai tahun ini,” katanya.
Rusdi berkata, pihaknya komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang bersubahat dengan sindiket penipuan kewangan, tanpa mengira latar belakang atau alasan.
Ends