Malaysia ucap takziah tragedi pesawat terhempas di sekolah di Bangladesh - PM

Iklan
Pasukan bomba dan keselamatan Bangladesh menjalankan operasi mencari dan menyelamat selepas jet latihan Tentera Udara terhempas ke dalam sekolah di Dhaka. Foto AFP

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah susulan insiden jet pejuang tentera Bangladesh terhempas ke sebuah sekolah di Dhaka, pada Selasa yang mengorbankan sekurang-kurangnya 31 nyawa.

"Hati saya luluh apabila mendapat tahu mengenai nahas jet pejuang yang terhempas di sebuah sekolah di Dhaka. Ramai yang terkorban, kebanyakannya kanak-kanak. Lebih 100 lagi cedera,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Iklan
Iklan

Anwar turut merakamkan penghormatan kepada Maherin Chowdhury, seorang guru yang meninggal dunia selepas bertindak berani menyelamatkan lebih 20 pelajar dari bangunan yang terbakar.

"Keberanian luar biasa beliau tidak akan dilupakan,” kata Anwar.

Iklan

Perdana Menteri berkata, beliau akan menulis surat kepada pemimpin sementara Bangladesh dan pemenang Hadiah Nobel Prof Muhammad Yunus, bagi menyatakan solidariti Malaysia terhadap rakyat Bangladesh.

"Kami sentiasa ada bersama anda dalam saat duka ini. Kami turut bersedih atas setiap nyawa yang terkorban dan keluarga yang terkesan,” kata beliau.

Iklan

Pada Isnin, sebuah pesawat F-7 BGI yang mengalami masalah teknikal sejurus berlepas, terhempas di bangunan Milestone School and College di kawasan Uttara Diabari, Dhaka, sekitar jam 1.15 tengah hari.

Sekurang-kurangnya 31 nyawa terkorban akibat nahas itu, termasuk juruterbang Lt Towkir Islam manakala 165 lagi cedera. - Bernama