Pensyarah rugi RM267,000 diperdaya sindiket keldai akaun, terpaksa buat pinjaman bank

Iklan
Mangsa telah melakukan 17 transaksi bayaran melalui empat akaun bank berbeza.

KUANTAN- Seorang pensyarah yang diperdaya terlibat dengan sindiket ‘keldai akaun’ dan kegiatan pengubahan wang haram terpaksa membuat pinjaman bank selain menggunakan wang simpanan sendiri bagi 'menyelesaikan kes' dan 'membatalkan' waran tangkap terhadapnya.

Mangsa lelaki berusia 57 tahun berjaya itu diperdaya sindiket sehingga sanggup membayar RM267,000 dalam tempoh sebulan sebelum menyedari ditipu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, nasib malang menimpa mangsa itu bermula selepas dia menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai wakil Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) pada 12 Jun lalu.

Menurutnya, mangsa diberitahu akaun bank miliknya dalam siasatan pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dengan sindiket ‘keldai akaun’ di Johor.

Iklan

"Mangsa yang menafikan perkara itu telah dirujuk kepada 'Sarjan Nizam' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melalui sambungan panggilan untuk tindakan lanjut.

"Mangsa diperdaya sekali lagi kononnya dia turut dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Iklan

Yahaya berkata, bagi menyelesaikan kes dan membatalkan waran tangkap terhadapnya, mangsa diarah memindahkan wangnya ke akaun yang diberikan.

"Dalam tempoh 18 Jun hingga 19 Julai lalu, mangsa telah melakukan 17 transaksi bayaran melalui empat akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM267,000 menggunakan wang simpanan serta pinjaman bank," katanya.

Justeru katanya, polis menasihatkan orang ramai agar segera membuat semakan sekiranya menerima panggilan meragukan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

"Buat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

"Sebarang maklumat atau keraguan berkaitan kes seumpama ini boleh disalurkan terus kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.