IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan dakwaan bahawa pihaknya menanam anjing secara hidup-hidup di Pusat Paun Haiwan, Lahat seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan MBI, Ahmad Zaiyadi Sudin berkata, kesemua anjing terbiar yang dikaitkan dalam video berkenaan telah melalui proses 'Put to Sleep' (PTS) secara berperikemanusiaan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurutnya, proses PTS dijalankan di bawah seliaan dan nasihat pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perak selaras dengan Seksyen 30(2)(e), Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722).
“Pengebumian bangkai-bangkai anjing hanya akan dilakukan selepas mendapat pengesahan kematian daripada pihak JPV, bagi memastikan pengurusan dilaksanakan secara selamat, teratur dan tidak mendatangkan risiko kesihatan awam, selaras dengan keperluan kebersihan dan pengurusan sisa haiwan.
“MBI komited dalam memastikan setiap tindakan berkaitan pengurusan anjing dalam kesusahan dilaksanakan secara beretika dan berlandaskan undang-undang, dengan memberi keutamaan kepada keselamatan penduduk, kesihatan persekitaran dan kebajikan haiwan,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.
Ahmad Zaiyadi berkata, pada tahun 2024 MBI menerima 1,342 aduan berkaitan anjing terbiar dan 480 aduan anjing peliharaan, manakala dari Januari hingga Julai 2025 pula, sebanyak 740 aduan berkaitan anjing terbiar serta 201 aduan anjing peliharaan telah direkodkan.
Sementara itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching menyifatkan dakwaan berhubung penanaman anjing secara hidup sebagai tidak berasas dan mampu mengelirukan masyarakat.
“Kerajaan negeri amat kesal apabila didakwa berlaku penanaman haiwan secara hidup, sedangkan jelas berdasarkan video yang tular, ia tidak menunjukkan apa yang didakwa.
“Kita kesal dengan kenyataan tidak bertanggungjawab yang menimbulkan kekeliruan, dan sedang meneliti aspek perundangan untuk tindakan lanjut terhadap pihak yang membuat dakwaan palsu,” ujarnya.
Sandrea berkata, proses PTS bukan pilihan utama, tetapi merupakan langkah terakhir selepas mengambil kira pelbagai kekangan termasuk kapasiti pusat paun, kadar pemilikan dan kesedaran pemilik haiwan serta kadar pengambilan angkat yang masih rendah di negeri ini.
“Kerajaan negeri juga telah melaksanakan kempen Perak Pawsitive sejak tahun lalu bagi menangani isu haiwan jalanan dari akar umbi melalui program pemandulan bersubsidi.
“Setakat ini, sebanyak 301 ekor anjing dan 254 ekor kucing telah dimandulkan di bawah kempen tersebut, selain 498 lesen diperbaharui,” tambahnya.
Jelasnya, kerajaan negeri juga merancang mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu terlibat bagi membina pemahaman menyeluruh serta usaha kolektif ke arah penyelesaian jangka panjang.