IPOH - Perak kekal bebas daripada wabak demam babi Afrika (ASF) sejak tahun 2024 meskipun merupakan antara negeri dengan jumlah ladang babi tertinggi di Malaysia.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A Sivanesan berkata, tiada sebarang pengesanan jangkitan ASF berlaku di semua 85 ladang babi sejak kes terakhir direkodkan pada Oktober 2023 di Tronoh.
"Setakat tahun 2024 hingga kini, tiada sebarang kes ASF dikesan di Perak.
"Ini satu pencapaian penting memandangkan Perak merupakan pengeluar utama daging babi negara dengan pengeluaran sebanyak 17.42 juta kilogram direkodkan tahun lalu," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Menurut Sivanesan, wabak ASF di negeri ini mula dikesan pada babi hutan sekitar Disember 2021 sebelum menjangkiti ternakan ladang pada Mac 2022 di daerah Batang Padang.
Katanya, sejak itu, sebanyak 18 ladang telah terjejas dengan 7,760 ekor babi dilupuskan pada tahun 2022 dan 11,575 ekor lagi pada tahun 2023.
"Daripada 18 ladang yang pernah terjejas itu, 13 daripadanya telah kembali beroperasi manakala lima lagi ditutup sepenuhnya.
"Dalam kes ini, tiada gangguan bekalan daging babi berlaku, malah kadar sara diri daging babi bagi negeri ini adalah sangat tinggi iaitu 239.43 peratus.
"Ini bermaksud pengeluaran kita mencukupi untuk memenuhi permintaan dalam negeri dan boleh dibekalkan ke negeri-negeri lain," katanya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri kini giat melaksanakan penstrukturan dan pemodenan penternakan babi menerusi sistem penternakan babi moden (MPF).
Menurutnya, usaha tersebut termasuk menjalin kerjasama dengan China bagi mempercepatkan peralihan kepada sistem MPF secara menyeluruh.
"Hampir 55 peratus permohonan untuk bertukar kepada sistem penternakan moden telahpun diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kini sedang dalam proses pembinaan.
"Jika semuanya berjalan lancar, Perak akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang berjaya menukar semua ladang babi konvensional kepada sistem moden dalam tempoh tiga tahun," katanya.