KPDN jawab laporan kilang asing terima kuota tertinggi tapis minyak masak bersubsidi

Iklan
KPDN menegaskan sehingga kini tiada dasar yang menetapkan pembekalan minyak masak daripada kilang penapisan hendaklah daripada kilang penapisan milikan tempatan sahaja. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bahawa sehingga kini, tiada dasar yang menetapkan pembekalan minyak masak daripada kilang penapisan hendaklah datang daripada kilang penapisan milikan tempatan sahaja.

Penegasan kementerian itu disuarakan susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang mendapati anak syarikat kepada syarikat asing yang berdaftar di Singapura dan Jepun menerima kuota kilang penapisan minyak masak bersubsidi tertinggi berbanding kuota yang diperoleh syarikat tempatan.

Iklan
Iklan

Jelas KPDN, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) sedia ada, syarikat pembungkus diberi pilihan untuk memilih, terhad kepada dua kilang penapisan bagi tujuan pembekalan minyak masak.

"Berdasarkan permohonan pertukaran kilang penapisan yang dikemukakan oleh syarikat pembungkus, terdapat beberapa faktor yang diambil kira oleh syarikat pembungkus dalam memilih kilang penapisan untuk tujuan perbekalan.

Iklan

"Ini termasuk lokasi kilang penapisan yang berdekatan dengan syarikat pembungkus bagi penjimatan kos pengangkutan; kualiti perkhidmatan dan bekalan minyak masak yang ditawarkan oleh syarikat penapis; serta kemampuan kilang penapisan membekalkan minyak masak secara konsisten mengikut tempahan," menurut kenyataan kementerian itu sebagai jawapan balas terhadap LKAN yang dikeluarkan pada Isnin.

KPDN turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang melaksanakan agenda penambahbaikan pengurusan program COSS termasuk meneliti atau mengkaji keutamaan kepada syarikat penapis tempatan dalam pembekalan minyak masak bersubsidi.

Iklan

KPDN menjawab pendedahan LKAN bahawa syarikat kilang asing terima kuota tertinggi dalam proses penapisan minyak masak bersubsidi di negara ini berbanding syarikat tempatan.

Terdahulu, LKAN menjelaskan bahawa antara syarikat yang memiliki lapan kilang penapisan di seluruh Malaysia adalah syarikat milikan penuh sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura.

“Syarikat ini telah menerima kuota bekalan tertinggi berjumlah 29,231 tan sebulan dan menguasai sebanyak 50.2 peratus daripada bekalan minyak masak bersubsidi tempatan,” menurut laporan itu.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa sebuah lagi syarikat yang ditubuhkan di Singapura dan memiliki dua kilang di Malaysia telah membekalkan sebanyak 8,921 tan sebulan, meliputi 15.3 peratus daripada bekalan minyak masak bersubsidi.

“Sebuah syarikat dari Jepun pula telah menerima kuota penapisan minyak masak bersubsidi melalui anak syarikatnya berjumlah 1,291 tan sebulan atau membekalkan 2.2 peratus bekalan minyak masak bersubsidi tempatan.

“Dua syarikat berkaitan kerajaan, yang juga merupakan syarikat tempatan utama, membekalkan minyak bersubsidi dengan jumlah kuota 6,154 tan sebulan atau 10.6 peratus bekalan minyak bersubsidi tempatan.

“Lapan syarikat tempatan lain pula telah menerima kuota berjumlah 12,674 tan sebulan atau membekalkan 21.8 peratus daripada jumlah keseluruhan bekalan minyak masak bersubsidi,” menurut laporan Ketua Audit Negara itu.