Ismanira tunduk sugul, turun ke lobi dengan langkah perlahan

Iklan
Pasangan ini duduk diam sepanjang berada di kafe Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan hanya berbicara seadanya.

PETALING JAYA – Selesai keputusan mahkamah yang memerintahnya membela diri atas pertuduhan mengabaikan anak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf hanya tunduk tanpa sepatah kata.

Air mukanya sugul, penuh duka seolah-olah sedang memikul beban yang terlalu berat untuk dijelaskan dengan kata-kata.

Iklan
Iklan

Kira-kira jam 12.35 tengah hari, wanita berusia 30 tahun itu perlahan-lahan melangkah keluar dari Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dengan memakai pelitup muka, ditemani adik-beradik dan ahli keluarga yang turut kelihatan terganggu secara emosi.

Suaminya, Zaim Ikhwan Zahari yang sebelum itu dibebaskan daripada pertuduhan sama turut berada di sisi, memegang bahu isterinya yang kelihatan lesu dan tenggelam dalam perasaannya sendiri.

Iklan

Pasangan itu kemudian mengambil tempat di kafe mahkamah, duduk dalam diam dan berbicara seadanya, mungkin cuba menenangkan hati menjelang sesi perbicaraan sambungan pada sebelah petang.

Namun, siapa yang tahu isi hati seorang ibu. Tatkala Ismanira bangkit semula menaiki tangga menuju ke bilik bicara, wajahnya tetap tertunduk.

Iklan

Hanya wanita dari keluarganya mengiringi perjalanan itu, manakala suami dan bapa mertuanya kelihatan masih berada di kafe – mungkin memberi ruang untuknya mengumpul kekuatan dalaman.

Sementara itu, suasana di sekeliling mahkamah menyaksikan para wartawan daripada pelbagai agensi media kekal setia menunggu sejak awal pagi.

Mereka tidak berganjak meskipun waktu semakin lewat petang, menanti setiap detik dan perkembangan dalam kes berprofil tinggi ini yang telah mengundang simpati dan perhatian seluruh negara.