ALOR GAJAH – Kerajaan negeri menafikan dakwaan bahawa kerja-kerja Projek Menaik Taraf Benteng Pantai di Tanjung Bidara di sini yang dianggarkan menelan kos RM2.29 juta telah dihentikan.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata, projek yang melibatkan tiga fasa sepanjang 180 meter itu telah mencapai kemajuan 40 peratus oleh kontraktor berbanding jadual asal iaitu 35 peratus setakat ini.
Malah, menurutnya, isu kelewatan tidak sepatutnya timbul memandangkan projek itu menggunakan reka bentuk baharu oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka yang masih dalam pelaksanaan bagi memastikan penduduk terkesan akibat hakisan ombak termasuk komuniti nelayan tidak terus dihantui masalah berkenaan.
“Projek ini tidak pernah dihentikan, namun ditangguhkan sementara waktu untuk memberi laluan kepada penilaian semula reka bentuk asal susulan fenomena yang berlaku dan menjejaskan struktur binaan.
“Kontraktor dan tender tidak berubah, cuma reka bentuk diperkasakan lagi. Saya anggap ini bukan satu kelemahan tetapi penambahbaikan dari sudut reka bentuk benteng,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Projek Menaik Taraf Benteng Pantai Tanjung Bidara di Kampung Balik Batu, di sini, pada petang Ahad.
Hadir sama, Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas dan Pengarah JPS Melaka, Ir Mohd Adnan Mohd Fauzi.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, beliau kesal dengan dakwaan berhubung kelewatan projek tersebut, sedangkan tarikh siap penuh projek itu adalah pada September tahun hadapan.
Jelasnya, kerja-kerja penambahbaikan akan dilaksanakan bermula 21 Julai ini, termasuk penambahan dua lapisan Sistem Pertahanan Pantai (Coastal Defence System CDS) di kawasan terlibat.
Ujarnya, mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan isu ini disarankan untuk meneliti fakta terlebih dahulu sebelum membuat sebarang dakwaan tanpa bukti kukuh.
“Kalau kata kontraktor lari atau berhenti kerja, itu semua adalah fakta yang salah.
“Kontraktor hanya berhenti seketika bagi mendapatkan pengesahan skop kerja terkini daripada JPS sebelum memulakan semula kerja. Kita yakin projek ini akan siap mengikut jadual,” katanya lagi.