Rezeki 167 pesakit dialisis terima angpau RM500 daripada hospital

Iklan
Seramai 167 pesakit yang menjalani rawatan dialisis di Pusat Perubatan Hospital Mawar terima angpau RM500.

SEREMBAN - Seramai 167 pesakit yang menjalani rawatan dialisis di Pusat Perubatan Mawar di sini buat kali kedua mendapat durian runtuh apabila menerima angpau berjumlah RM500 daripada hospital berkenaan.

Rezeki tidak disangka-sangka itu diberi pihak hospital pada Selasa bagi berkongsi keuntungan diperolehi mereka selain sempena Tahun Baharu Cina.

Iklan
Iklan

Salah seorang pesakit S Saravanan,57 berkata, ini merupakan tahun keduanya menerima duit raya daripada pihak hospital terbabit.

Saravanan

Iklan

"Tak pernah lagi mana-mana hospital bagi duit kepada pesakit dan ini menunjukkan tanda keprihatinan mereka kepada kami.

"Dengan duit ini dapatlah bantu saya beli barangan keperluan untuk keluarga kerana saya kini tidak lagi bekerja selain perlu tanggung dua anak yang masih belajar,"katanya.

Iklan

Ujarnya, sebelum ini dia bekerja di sebuah syarikat kereta terpakai, namun terpaksa berhenti kerana tahap kesihatannya semakin merosot akibat sakit buah pinggang.

Warga emas, Pang Yoon Chin, 71, pula berkata, dia daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan sudah 16 tahun menjalani rawatan dialisis akibat masalah buah pinggang.

Pang Yoon Chin

"Saya bersyukur kerana hanya perlu membayar kira-kira RM10 sebulan dan selebihnya ditanggung Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Suami juga sudah berumur 73 tahun dan hanya duduk di rumah. Dengan pemberian angpau ini, saya boleh beli kuih atau biskut untuk sambut Tahun Baru Cina nanti," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pusat Hemodialisis Mawar, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, pemberian duit raya berkenaan membabitkan jumlah keseluruhan RM83,500.

"Setiap pesakit akan menerima angpau berjumlah RM500, ia tanda keprihatinan dan sokongan ikhlas kami bagi meringankan beban kewangan serta membawa kegembiraan sempena musim perayaan ini.

"Kami berharap sumbangan ini dapat sedikit sebanyak mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh para pesakit, serta menjadi peringatan bahawa mereka sentiasa berada dalam perhatian dan sokongan kami,"katanya.

Jelasnya, pada tahun lalu, pihaknya telah menyediakan keseluruhan subsidi kepada pesakit dialisis sebanyak RM2.12 juta.

Ujarnya, pencapaian tersebut mencerminkan dedikasi pihaknya bukan sahaja dalam meningkatkan tahap kesihatan, malah dalam mengurangkan beban kewangan rawatan jangka panjang.

Sementara itu pada majlis berkenaan, beliau telah melancarkan unit saringan kesihatannya yang baharu, melibatkan pelaburan kira-kira RM1.92 juta.