MELAKA - “Anak saya bukan pengemis, saya tak tahu dia ikut bapa angkat buat maskot bawa tabung di hadapan sebuah stesen minyak di Cheng.
Itu luahan Nor Hafika Mohd Shamsul, 30, ibu kepada kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang tular kerana didakwa mengemis dengan memakai kostum Spiderman pada Isnin lalu.
Ibu kepada dua anak itu berkata, dia hanya mengetahui perkara tersebut selepas dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang datang ke rumahnya.
“Saya tak tahu dia ikut bapa angkat. Dia baru balik tuisyen tetapi tak sampai-sampai rumah. Saya tak dapat hubungi bapa angkat sebab dia tak menggunakan telefon bimbit.
“Saya hanya tahu dia minta simpati orang ramai selepas dimaklumkan JKM yang datang ke rumah. Saya memang tak pernah suruh dia minta duit daripada orang ramai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Rumput di sini pada Rabu.
Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan dua individu berpakaian ‘Spiderman’, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang mengemis di hadapan stesen minyak diambil tindakan oleh JKM Melaka pada Ahad.
Tindakan itu diambil susulan aduan orang awam mengenai kegiatan seorang lelaki berusia 50 tahun yang membawa anak saudara perempuannya mengemis dengan memakai kostum lusuh sekitar jam 4 petang.
Difahamkan, beberapa kenderaan berhenti bagi menghulurkan sumbangan ke dalam sebuah kotak putih yang tertera tulisan ‘Sumbangan Ikhlas Hati’.
Nor Hafika berkata, kostum Spiderman yang dipakai anaknya itu diperoleh daripada pusat pengumpulan pakaian terpakai di Masjid Tangga Batu pada Disember lalu.
“Saya memang tak beli baju itu. Dulu dia ada minta, tetapi saya tak mampu. Kebetulan saya jumpa dalam tong pakaian terpakai. Walaupun koyak sedikit, saya bagi dia pakai sebab dia suka.
“Anak ikut bapa angkat sejak hujung tahun lalu. Saya rasa tak sampai lima kali. Ada sekali dia beritahu mahu ikut, saya ingat sekadar duduk di belakang sahaja. Saya tak tahu dia pergi berdiri buat maskot.
“Dia balik rumah cerita seronok sebab budak-budak suka tengok Spiderman. Itu sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, dia berkata suaminya, Mohd Nazry Mohd Ali, 40, kini tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas berhenti kerja kilang tahun lalu akibat masalah kesihatan selepas menjalani pembedahan angin pasang.
“Suami sekarang tiada pendapatan tetap dan hanya bekerja kampung dengan pendapatan kira-kira RM900 sebulan. Anak-anak menerima bantuan JKM sebanyak RM250 sebulan bagi menampung perbelanjaan persekolahan.
“Saya malu apabila perkara ini tular. Orang datang ke rumah dan pelbagai komen dilemparkan. Anak saya peluk saya dan minta maaf. Dia janji tak ikut lagi.
“Saya cuma mahu anak saya belajar dan berjaya. Saya tak pernah ajar dia minta simpati orang,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin yang mengadakan lawatan ke rumah keluarga terbabit berkata, semakan mendapati keluarga tersebut menerima bantuan am bulanan berjumlah RM250 daripada JKM sejak tahun lalu.
Bagaimanapun, pihaknya sedang mempertimbangkan bantuan lain termasuk peluang pekerjaan yang bersesuaian bagi meringankan beban keluarga berkenaan.