Kerajaan disaran tawar ganjaran RM10 juta kesan, bawa pulang Jho Low

Iklan
Chua Wei Kiat

SHAH ALAM - Kerajaan disarankan menawarkan ganjaran berjumlah RM10 juta kepada mana-mana individu atau pihak yang berjaya mengesan dan membawa pulang buruan utama kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low.

Cadangan itu dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat yang berpendapat langkah itu wajar diambil bagi memastikan Jho Low dapat dihadapkan ke muka pengadilan sebagaimana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Iklan
Iklan

“Saya menyarankan kerajaan Malaysia mengambil langkah berani dan proaktif dengan menawarkan ganjaran kewangan kepada mana-mana individu, pihak swasta mahupun agensi penguat kuasa luar negara yang mampu menyalurkan maklumat sahih hingga berjaya membawa pulang Jho Low,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau mencadangkan agar ganjaran yang ditawarkan itu bernilai RM10 juta, iaitu 0.035 peratus daripada jumlah keseluruhan dana 1MDB yang telah berjaya dikembalikan kepada Malaysia iaitu lebih RM29 bilion setakat ini.

Iklan

Menurutnya, tindakan itu bukanlah luar biasa kerana negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, India dan China telah lama mengamalkan pendekatan ganjaran seperti itu.

"Pendekatan itu khusus dalam memburu penjenayah dikehendaki, pengganas atau individu yang terlibat dalam pengubahan wang haram dan rasuah rentas negara.

Iklan

“Jika ganjaran RM10 juta ini mampu membawa pulang watak utama yang selama ini menghilangkan diri, ia adalah pelaburan keadilan yang berbaloi.

"Ia juga akan menjadi isyarat jelas kepada dunia bahawa Malaysia tidak berkompromi dalam membanteras rasuah berskala mega,” katanya.

Chua berkata, Jho Low bukan sekadar suspek tetapi merupakan simbol kepada sistem yang dibolosi, institusi yang dimanipulasi dan kekayaan negara yang dicuri.

“Bagaimana keadilan boleh ditegakkan jika individu yang menyimpan kunci kepada keseluruhan skandal ini masih bebas dan terus menikmati kehidupan mewah di luar negara?” katanya.

Menurut beliau, media antarabangsa mendedahkan bahawa Jho Low dipercayai kini menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai, China dengan menggunakan pasport Australia palsu.

“Semua individu yang terlibat dalam kes 1MDB mempunyai peranan dalam skandal 1MDB dan mesti sama-sama bertanggungjawab. Keadilan yang sebenar hanya boleh dicapai apabila semua yang terlibat, tanpa mengira pangkat atau kekayaan, dibawa ke muka pengadilan,” katanya lagi.

Tambahnya, kepulangan Jho Low juga penting bagi memastikan siasatan dan pendakwaan kes 1MDB dapat dilengkapkan sepenuhnya.

“Ini dapat membantu mengelakkan kejadian seperti keputusan DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) daripada berulang hanya kerana kekurangan saksi utama dan bahan bukti tidak mencukupi,” katanya.