PONTIAN - UMNO bersedia membenarkan ibu pejabat parti digunakan sebagai lokasi pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin kanan parti bagi membincangkan Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ruang di Menara Dato’ Onn itu sentiasa terbuka untuk sebarang perbincangan yang membabitkan isu berkenaan demi kepentingan parti.
Beliau berkata, tindakan Perdana Menteri menyatakan kesediaan untuk berbincang mengenai isu Titah Adendum membuktikan bahawa Anwar seorang yang prihatin dan cakna terhadap suara akar umbi parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Paling penting adalah kesediaan Perdana Menteri untuk bertemu dengan pemimpin kanan UMNO. Ini kerana desakan ketua-ketua bahagian UMNO itu mewakili ahli akar umbi yang menzahirkan rasa kasih dan sayang terhadap bekas pimpinan kami.
“Mereka bukan membawa suara individu, tetapi suara akar umbi parti. Oleh itu, jika Perdana Menteri memerlukan Ibu Pejabat UMNO untuk mengatur dan menguruskan pertemuan, kami tiada masalah dan sedia melakukannya serta membuka pintu kami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Tanjung Piai di Dewan Taman Sentosa, Pekan Nanas pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Md Israk Abdullah yang juga Ketua Penerangan UMNO Johor.
Pada Jumaat, Perdana Menteri menyatakan kesediaannya untuk bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan parti itu bagi membincangkan atau mengambil sebarang tindakan berhubung Titah Adendum.
Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak boleh mendahului mahkamah dalam hal tersebut.
Dalam satu pertemuan di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis, seramai 160 ketua UMNO bahagian sebulat suara mendesak pelaksanaan Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang dikeluarkan pada 4 Januari lalu.
Ia bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan dalam rumah.
Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah yang mewakili kumpulan itu, turut mendesak agar Peguam Negara menarik balik permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 6 Januari 2025.
Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan bersalah pada 28 Julai 2020 atas tujuh pertuduhan berkaitan skandal 1MDB, iaitu penyelewengan dana SRC International.
Beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022. Pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan Diraja memperkenankan pengurangan hukuman kepada enam tahun penjara dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.