PUTRAJAYA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) memberi jaminan akan memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap premis kitar semula susulan laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pada Jumaat.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, pihaknya mengambil perhatian penuh terhadap hasil siasatan EAIC yang membabitkan tindakan JAS Negeri Johor terhadap premis yang diadukan.
Menurutnya, meskipun laporan EAIC mengesahkan dakwaan pengadu tidak berasas, pelbagai langkah penambahbaikan akan dilaksanakan bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
“Antara yang ditekankan ialah tindakan lebih tegas terhadap premis yang melakukan kesalahan berulang, termasuk penahanan operasi, penggantungan lesen dan tindakan mahkamah di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Siasatan EAIC mendapati semua premis terlibat mempunyai lesen sah daripada JAS dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta beroperasi di kawasan perindustrian yang diluluskan.
Selain itu, tiada bukti salah laku pegawai JAS dikesan, malah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak menemui sebarang unsur rasuah.
Mengulas lanjut, Wan Abdul Latiff berkata, JAS turut mengambil langkah menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada dan telah mengedarkannya ke semua peringkat bagi penyelarasan tindakan di negeri dan daerah.
“Libat urus secara berterusan juga akan dilaksanakan bagi memastikan pemahaman dan pelaksanaan SOP ini dilaksanakan secara menyeluruh oleh semua pegawai,” katanya.
Tambah beliau, garis panduan kompaun turut dipinda agar tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih telus dan adil, termasuk keperluan mendapatkan kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya sebelum pengeluaran kompaun.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, satu pewartaan baharu iaitu Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Pewakilan Kuasa kepada Jabatan Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Perbadanan) 2025 telah dikuatkuasakan mulai 8 Julai lalu.
“Ia menggabungkan enam perintah sedia ada ke dalam satu perintah pewakilan kuasa baharu, sekali gus memperkemas pelaksanaan penguatkuasaan oleh pelbagai agensi berkaitan,” katanya.
JAS juga kini sedang merangka dan melaksanakan pelan penambahbaikan secara berfasa demi memperkukuh keberkesanan tindakan penguatkuasaan secara berterusan.
“Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan, termasuk EAIC, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kami lebih berkesan, konsisten dan berintegriti,” katanya.
EAIC semalam mendedahkan beberapa kelemahan dalam pelaksanaan tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor terhadap sebuah premis kitar semula di kawasan perindustrian Segamat.
Siasatan dijalankan selepas EAIC menerima aduan berhubung dakwaan kegagalan JAS Johor mengambil tindakan terhadap premis berkenaan yang dikatakan beroperasi tanpa lesen sah.
Siasatan dilaksanakan mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].