Pereka grafik didakwa buat hantaran jelik hina agama

Iklan
Seorang pereka grafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik, menghina agama Islam pada dua tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang pereka grafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik, menghina agama Islam pada dua tahun lalu.

Yeo Li Yin, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Izralizam Sanusi.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain, menggunakan aplikasi Twitter (kini dikenali sebagai X) dengan nama profil 'Liyin Yeo' pada 19 Jun 2023.

Hantaran itu dilihat di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, di sini pada jam 2.15 petang 22 Jun 2023.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Zaberi mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Rajsurian Pillai yang mewakili Li Yin, merayu kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan.

“Anak guam juga perlu menjaga ayahnya yang berusia 80 tahun,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Izralizam membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 September ini.