BUTTERWORTH - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan di sini, atas pertuduhan menyamun dan mencabul seorang wanita warga Myanmar awal bulan ini.
Tertuduh, Lee Chun Yong, 41, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nor Azah Kasran dan Majistret, Aini Adilah Muhammad Faizal.
Berdasarkan pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Chun Yong didakwa melakukan samun terhadap mangsa dengan melarikan pelbagai barangan kemas termasuk 10 bentuk cincin, lima utas rantai tangan, dua pasang subang, dua rantai leher, dua telefon bimbit jenama iPhone dan Oppo serta wang tunai RM200 bersama kad ATM Hong Leong.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 7 malam di dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan di Lorong Aman, Telok Air Tawar pada 6 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal tidak menawarkan sebarang jaminan namun peguam tertuduh, Y Yogeswaran memohon jaminan diberikan atas alasan anak guamnya adalah penanggung utama keluarga.
"Anak guam saya perlu menyara dua anak yang masih bersekolah kerana isterinya sudah tidak tinggal bersama mereka.
"Dia juga merupakan pesakit jantung dan bapanya yang hadir hari ini untuk menjadi penjaminnya,"katanya.
Hakim Nor Azah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Chun Yong didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan niat mencabul kehormatannya di lokasi dan masa yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli menawarkan jaminan RM6,000 namun pihak pembelaan memohon kadar jaminan minimum atas alasan sama.
Majistret Aini Adilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melarang tertuduh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang kes berjalan.
Mahkamah menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes.