Lelaki Pakistan tidak faham bahasa, kes liwat bersiri ditangguhkan

Iklan
Lelaki Pakistan yang memakai baju kurta berwarna putih memberitahu tidak memahami bahasa Melayu atau Inggeris ketika prosiding di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.

SHAH ALAM – Pendakwaan terhadap seorang lelaki warga Pakistan berusia 24 tahun yang berdepan empat pertuduhan termasuk kesalahan seksual terhadap tiga kanak-kanak lelaki dan satu kes merompak, ditangguhkan ke 23 Julai ini.

Penangguhan itu dibuat selepas suspek tidak memahami bahasa Melayu atau Inggeris, menyebabkan pertuduhan tidak dapat dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Norazlin Othman dan Hakim Rasyihah Ghazali di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Suspek yang memakai baju kurta berwarna putih menggelengkan kepala ketika prosiding berlangsung.

Susulan itu, mahkamah menetapkan 23 Julai ini sebagai tarikh baharu pendakwaan dengan kehadiran jurubahasa Urdu.

Iklan

Lelaki Pakistan menundukkan kepala ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.

Pendakwaan bagi kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin dan Roshaira Rosly, manakala suspek tidak diwakili peguam.

Iklan

Sementara itu, suspek turut berdepan satu pertuduhan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa di negara ini.

Kes itu disebut di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis, yang turut menetapkan 1 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Akhilah Rosmi.

Terdahulu, kes berkenaan menjadi tular di media sosial selepas beberapa kanak-kanak lelaki dilaporkan diliwat dan dicabul oleh seorang lelaki warga Pakistan di kawasan Seksyen 27 dan Seksyen 28, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim sebelum ini memaklumkan suspek ditahan di Kuala Nerang, Kedah pada 8 Julai lalu susulan siasatan terhadap beberapa laporan berkaitan kes liwat dan amang seksual terhadap kanak-kanak.