JPJ di peringkat akhir tambah baik sistem Kejara

Iklan
Aedy Fadly Ramli

BANGI - Proses penambahbaikan baharu dalam Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) kini berada di fasa akhir di peringkat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penambahbaikan yang bakal dilaksanakan itu merupakan sebahagian daripada rombakan besar-besaran sistem Kejara seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke baru-baru ini.

Iklan
Iklan

“Rombakan ini sudah berada di peringkat akhir di JPJ sebelum diangkat ke Kementerian Pengangkutan untuk pertimbangan terhadap penambahbaikan yang akan kita laksanakan.

“Ia akan diumumkan kelak. Ketika ini, ia berada di peringkat akhir JPJ dan belum diluluskan oleh menteri,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi libat urus bersama Persatuan Pengusaha Lori, Pengusaha Bas Ekspres dan Pelancongan berkaitan inisiatif keselamatan jalan raya di sini pada Khamis.

Iklan

Tambahnya, aspek penambahbaikan dalam sistem ini memerlukan tempoh masa tertentu kerana turut membabitkan aspek perundangan.

Jelas beliau, JPJ juga telah membentangkan cadangan penambahbaikan sistem terbabit kepada Anthony Loke sebanyak dua kali.

Iklan

“Pindaan kaedah akan mengambil masa kerana ia perlu melalui peringkat lebih tinggi seperti Jabatan Peguam Negara dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, Anthony Loke menyatakan bahawa sistem Kejara akan dirombak secara besar-besaran tidak lama lagi kerana ia tidak efektif pada masa ini dan disifatkan sebagai gagal.

Sistem Kejara adalah suatu prosedur pemberian mata demerit kepada pemandu kenderaan motor yang melakukan kesalahan terjadual di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya.

Mengulas mengenai sesi libat urus tersebut, Aedy berkata, JPJ memaklumkan usaha-usaha yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya di negara ini.

“Rata-rata memberikan maklum balas yang amat positif dan meminta supaya JPJ kerap mengadakan perbincangan seperti sesi town hall yang diadakan buat julung-julung kalinya pada tahun ini.

“Kami telah bersetuju untuk mengadakan program town hall ini secara berkala atas permintaan daripada pihak industri,” katanya.