Skandal ijazah palsu: Datuk Bandar Jepun letak jawatan

Iklan
Maki Takubo mengumumkan hasratnya untuk meletakkan jawatan pada 8 Julai lepas. Foto Agensi

SHIZUOKA – Datuk Bandar Ito, Maki Takubo mengumumkan peletakan jawatannya selepas didakwa menipu berhubung latar belakang akademik, termasuk mendakwa memiliki ijazah daripada sebuah universiti walaupun sebenarnya telah dibuang daripada pengajian.

Pengumuman tersebut dibuat pada 8 Julai lalu di hadapan pegawai kanan serta kakitangan kerajaan bandar dalam satu taklimat dalaman.

Iklan
Iklan

Takubo, yang sebelum ini mendakwa telah menamatkan pengajian di Universiti Toyo, akhirnya mengaku bahawa beliau sebenarnya telah gagal menamatkan pengajian dan dibuang dari universiti berkenaan.

"Saya menyebabkan kesulitan atas sebab peribadi," katanya dalam pertemuan ringkas bersama barisan eksekutif bandar, sebelum memohon maaf secara terbuka kepada kira-kira 100 kakitangan di dewan utama Dewan Bandar Raya Ito.

Iklan

Skandal ini bukan sahaja mencetuskan krisis kepercayaan politik, malah turut memberi kesan kepada industri pelancongan di bandar peranginan air panas berkenaan, apabila beberapa ejen pelancongan membatalkan lawatan ke Ito.

Ketua Jabatan Perancangan Bandar Ito, Tsuyoshi Chikamochi, berkata:

Iklan

“Kami ingin segera menyelesaikan kekeliruan dan perpecahan dalam bandar ini. Sudah ada agensi pelancongan menyatakan mereka tidak mahu datang ke Ito.”

Sebelum itu, pada 7 Julai, Takubo mengadakan sidang akhbar dan mengaku telah meluluskan penerbitan maklumat palsu mengenai kelayakan akademiknya dalam majalah promosi rasmi bandar.

Namun, Takubo tetap mempertahankan bahawa beliau benar-benar mempercayai telah tamat pengajian, sehinggalah dimaklumkan pada 28 Jun bahawa beliau sebenarnya telah dibuang dari universiti.

Berhubung sijil tamat pengajian yang dikemukakan kepada pihak berkuasa bandar, Takubo pada awalnya mendakwa bahawa dokumen tersebut adalah tulen, tetapi kemudian mengakui bahawa beliau tidak pasti bagaimana dokumen itu diperoleh.

Sijil berkenaan telah diminta oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Majlis Bandar, dan kini dirancang untuk diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Wilayah Shizuoka untuk siasatan lanjut.

Jurucakap Majlis Bandar, Hiromichi Nakajima menyifatkan keputusan Takubo untuk berundur sebagai langkah yang bijak bagi memulihkan keyakinan awam.

Takubo turut memaklumkan bahawa beliau akan menghantar surat penjelasan kepada pihak pendakwa dalam tempoh dua minggu dan akan meletakkan jawatan secara rasmi selepas itu.

Berdasarkan Undang-Undang Pilihan Raya Umum Jepun, pilihan raya Datuk Bandar baharu perlu diadakan dalam tempoh 50 hari selepas peletakan jawatan rasmi. - Agensi