Bangkai helikopter terhempas di Sungai Pulai berjaya dinaikkan

Iklan
Bangkai helikopter PDRM yang terhempas di Sungai Pulai ketika Latihan MITSATOM 2025 berjaya dinaikkan pada Khamis.

ISKANDAR PUTERI – Bangkai helikopter jenis AS355N milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah pada Khamis lalu, berjaya dinaikkan pagi ini.

Bangkai helikopter tersebut diapungkan kira-kira jam 11 pagi, sebelum dinaikkan ke atas kapal kren kira-kira 15 minit kemudian.

Iklan
Iklan

Operasi yang bermula seawal jam 8 pagi menyaksikan sebuah kapal kren dan dua unit bot peronda Pasukan Polis Marin (PPM) dikerahkan ke lokasi bagi melaksanakan proses mengangkat bangkai helikopter.

Keadaan cuaca cerah turut membantu melancarkan usaha menaikkan bangkai pesawat berkenaan.

Iklan

Kerja-kerja mengangkat bangkai helikopter yang terhempas di Sungai Pulai.

Pasukan dari pelbagai agensi termasuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pelabuhan Tanjung Pelepas, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berada di Markas Operasi Sungai Pulai bagi membantu koordinasi operasi.

Iklan

Dalam kejadian jam 10.25 pagi Khamis lalu, helikopter AS355N dengan nombor pendaftaran 9M-PHG terhempas ketika menjalani Latihan Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura 2025 (MITSATOM 2025).

Operasi melibatkan sebuah kapal kren dan dua unit bot peronda Pasukan Polis Marin (PPM).

Insiden itu menyebabkan dua kru iaitu Koperal Adeline Liu Yan Sin dan Konstabel R G Devendran dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Juruterbang, Asisten Komisioner Faizul Muhammad; pembantu juruterbang, Superintenden Ahmad Bustamin Baharom dan Sarjan Siti Latipa Khairuddin turut mengalami kecederaan.

Kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, untuk rawatan lanjut.