Pulau Pinang antara negeri paling mudah dapat tauliah ceramah agama - Mohamad

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai program wacana ilmu bersama Wan Ji yang dijadual berlangsung di Masjid Sembilang, Seberang Jaya didakwa dibatalkan di saat akhir.

GEORGE TOWN – Pulau Pinang merupakan antara negeri yang paling mudah untuk mendapatkan tauliah bagi menyampaikan ceramah agama, asalkan penceramah mematuhi semua garis panduan serta prosedur yang telah ditetapkan pihak berkuasa agama.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, isu penceramah dihalang daripada menyampaikan kuliah tidak sepatutnya timbul sekiranya mereka akur terhadap peraturan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebarang penganjuran ceramah atau pelantikan penceramah perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

“Pulau Pinang ialah negeri berdaulat dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam. Oleh itu, setiap ceramah agama mesti melalui saluran yang betul.

Iklan

“Saya sendiri telah menghentikan kuliah penceramah tanpa tauliah sejak Oktober tahun lalu. Namun selepas enam bulan, kuliah kembali berjalan lancar dengan sistem tauliah yang lebih teratur,” katanya ketika ditemui pada satu program rasmi pada Rabu.

Beliau sebelum itu merasmikan Karnival Pendidikan Inklusif Jom Sekolah Peringkat Pulau Pinang di Sunshine Mall.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohamad menjelaskan setiap permohonan tauliah akan dinilai oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran dan Kuliah, yang dipengerusikan oleh Mufti Negeri, dengan keanggotaan termasuk wakil JHEAIPP dan tokoh agama.

“Jika seseorang itu mempunyai pengalaman lebih 10 tahun mengajar atau pernah menjadi guru agama di negeri lain, mereka boleh diberi tauliah tanpa perlu hadir temuduga atau menduduki ujian bertulis.

“Namun syaratnya, mereka tidak terlibat dalam sebarang kontroversi dan mematuhi 13 garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa hanya JHEAIPP mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan ceramah agama, manakala pejabat Timbalan Ketua Menteri hanya berperanan dalam merangka dasar dan polisi.

“Isu tauliah ini tidak sepatutnya dijadikan polemik. Dasar kita jelas dan prosedurnya mudah. Jika ikut saluran betul, tidak akan timbul masalah,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu tular melibatkan seorang pendakwah yang mendakwa dihalang daripada menyampaikan ceramah baru-baru ini, Mohamad menegaskan individu tersebut tidak memiliki tauliah dan gagal mengemukakan permohonan kebenaran khas seperti yang dikehendaki.

“Permohonan khas mesti dibuat oleh pihak masjid kepada JHEAIPP melalui Borang 3. Tetapi dalam kes ini, tiada permohonan dihantar. Jadi, tindakan penguat kuasa adalah mengikut prosedur,” jelas beliau.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa pejabatnya mengeluarkan arahan untuk menghalang program ceramah tersebut.

“Saya terkejut apabila nama pejabat saya disebut. Arahan itu datang daripada pihak berkuasa agama, bukan saya. Dakwaan tersebut tidak berasas dan berbaur politik,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan program wacana ilmu bersama penceramah bebas, Dr Wan Ji Wan Hussin, yang dijadual berlangsung di Masjid Sembilang, Seberang Jaya pada malam Ahad, didakwa dibatalkan di saat akhir kerana isu tauliah.

Program yang sepatutnya diadakan selepas solat Maghrib itu dianjurkan bersama oleh Biro Penerangan dan Penerangan Agama (BIPPA) dan Masjid Sembilang, serta bertemakan “Iktibar dan Kesan Konflik Pemerintahan Saidina Usman”.

Wan Ji menerusi hantaran di Facebooknya mendakwa penganjur memaklumkan bahawa program tersebut dibatalkan kerana dihalang oleh Pejabat Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.