KOTA BHARU - Tindakan nekad seorang penyeludup memecut laju kereta bagi mengelak ditahan pihak berkuasa membawa padah apabila terbabas dan melanggar pembahagi jalan serta lampu isyarat sebelum diberkas dalam cubaan menyeludup 500 liter petrol bersubsidi ke negara jiran.
Kejadian berlaku ketika operasi dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di Simpang 4 Cherang di sini pada Selasa malam.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, sebelum itu pihaknya mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi.
"Serbuan dibuat semasa suspek sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Paya Bemban, Jalan Hospital, Kampung Tapang.
"Lelaki berusia 32 tahun itu bertindak agresif dengan melarikan diri," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Ujar beliau, bagaimanapun selepas dikejar sejauh beberapa kilometer kenderaan suspek terbabas melanggar pembahagi jalan dan lampu isyarat di hadapan sebuah premis di Simpang 4 Cherang sebelum berjaya ditahan.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit telah menemukan 20 tong jerikin berisi petrol bersubsidi serta satu set pam elektrik lengkap dengan hos paip yang dipercayai digunakan untuk memindahkan minyak secara haram.
Azman memberitahu, hasil soal siasat suspek mengaku minyak itu miliknya dan bertujuan diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram di Sungai Golok
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau sindiket yang masih berani menyeleweng barangan kawalan demi mengaut keuntungan haram," katanya.