IPOH – Lonjakan harga rumah di Perak, khususnya di kawasan bandar raya Ipoh, ketika ini dilihat ketara dan memerlukan campur tangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan rakyat di negeri ini berkemampuan memiliki kediaman sendiri.
Timbalan Ketua Cabang PKR Tambun, Kalaimughilan Arjunan mendakwa, berdasarkan keadaan semasa, harga rumah, terutama di bandar-bandar utama, mencecah antara RM380,000 hingga RM500,000 bagi rumah teres, manakala rumah mampu milik pula tidak mencukupi.
Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan ramai anak muda berdepan masalah untuk memiliki kediaman sendiri disebabkan kekangan kewangan dan komitmen lain.
“Harga rumah di Perak kini hampir menyamai harga di Selangor, tetapi jurang pendapatan amat ketara. Di mana logiknya? KDNK Perak adalah antara yang terendah di Malaysia, namun harga rumah terus meningkat seperti di negeri maju.
"Ini memberi isyarat wujudnya elemen spekulasi dalam pasaran perumahan di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Kalaimughilan juga mempersoalkan bagaimana harga pasaran hartanah ditentukan oleh pemaju dan institusi kewangan yang dilihat seolah-olah mengabaikan latar belakang sosioekonomi setempat.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada nilai pasaran itu benar-benar berdasarkan permintaan sebenar atau hanya direka untuk mengaut keuntungan maksimum.
Jelasnya, kesan daripada situasi itu menyaksikan ramai anak muda dan golongan berpendapatan rendah hanya mampu menyewa rumah, malah sewa yang dibayar jauh lebih rendah berbanding harga pasaran hartanah.
Justeru, beliau menggesa KPKT dan kerajaan negeri segera menyemak semula dasar perumahan dan mekanisme penilaian pasaran supaya lebih adil kepada rakyat.
Menurutnya, dasar yang adil dan berpaksikan realiti pendapatan tempatan perlu dilaksanakan agar projek perumahan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan bukannya sekadar menjadi aset pelaburan untuk golongan berada.
Beliau berharap kerajaan negeri dan KPKT tidak memandang ringan isu ini kerana ia bukan sekadar soal ekonomi tetapi soal masa depan generasi muda Perak.