PONTIAN – “Dia keluar rumah awal pagi dengan berpakaian kemas dan sangat wangi."
Demikian kata Nazihah Mahtar, 43, ibu kepada Muhammad Azam Asmawei, 14, yang maut selepas dihempap pokok kelapa sawit reput di Kampung Parit Wak Katek, Sanglang pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa bersama rakannya, Muhammad Hairey Rosli, 18, berada di kawasan tali air berhampiran kebun sawit terbabit untuk kerja menggali parit.
Menurut Nazihah, keluarganya baru berpindah ke kampung itu selepas Aidilfitri lalu dari Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Malam tadi saya ajak Azam makan di gerai, tapi dia tolak, cuma makan roti canai yang saya beli. Lepas Subuh dia dah siap elok, pakai baju cantik, wangi sangat, padahal nak ikut kawan kerja gali parit saja.
“Dari jam 6.30 pagi dia dah tunggu kawannya datang ambil dengan motosikal,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian.
Nazihah berkata, kehilangan anak bongsu daripada tiga beradik itu amat dirasai kerana dia ringan tulang membantu keluarga terutama ayahnya yang bekerja di bengkel cat kereta di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi.
Sementara itu, Muhammad Hairey berkata, dia sudah menganggap Azam seperti adik sendiri kerana mereka sangat rapat.
“Sebelum kejadian saya ada pesan supaya berhati-hati sebab nampak pokok sawit di situ dah reput. Ini kali kedua dia datang tolong, Jumaat lepas dia ikut gali parit juga.
“Tadi dia cakap nak duduk rehat atas jambatan, tiba-tiba pokok sawit tumbang terus hempap dia. Saya menjerit minta tolong dan lari panggil orang kampung. Masa tu keadaan dia dah berlumuran darah,” katanya.
Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Bunian pada malam Selasa.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohamad Shofee Tayib ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dihempap sebatang pokok kelapa sawit ketika berada di lokasi kejadian. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan dari Klinik Kesihatan Benut.
"Pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.