Air laut berubah merah jejas sumber rezeki nelayan

Iklan
Keadaan perairan Teluk Nipah yang dicemari sisa lumpur akibat hakisan tanah dari bukit berhampiran.

GEORGE TOWN - Lebih 100 nelayan pantai di Kampung Teluk Nipah, Kuala Muda di Kedah kini berdepan kesukaran mencari rezeki berikutan hakisan tanah yang semakin serius di kawasan itu.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, masalah tersebut berpunca daripada aktiviti penerokaan bukit dan penambakan tanah yang berleluasa sejak empat tahun lalu, namun sehingga kini tiada tindakan berkesan diambil oleh pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tinjauan CAP mendapati air laut di kawasan itu telah berubah menjadi merah dan berlumpur akibat hakisan dari kawasan bukit berhampiran.

“Keadaan ini bukan sahaja mencemarkan laut, malah memberi kesan terus kepada kehidupan sekitar 100 nelayan yang bergantung kepada kawasan itu untuk menangkap hasil laut.

Iklan

"Kami kecewa kerana walaupun isu ini sudah lama berlaku, tiada satu pun pihak tampil menyelesaikannya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohideen

Iklan

Menurut beliau, situasi bertambah buruk ketika hujan lebat dan ombak besar apabila tanah dari bukit yang diteroka runtuh dan mengalir terus ke laut.

“Jika dibiarkan, cerun bukit itu berisiko runtuh sepenuhnya dan mencetuskan bencana alam yang lebih besar,” jelasnya.

Tambah Mohideen, pencemaran laut akibat hakisan itu juga boleh mengakibatkan kepupusan spesies marin seperti ketam, siput, ikan dan udang.

“Kawasan jeti nelayan di sini turut terjejas apabila semakin cetek, menyukarkan mereka melabuhkan perahu atau mendaratkan hasil tangkapan.

Sebahagian daripada kawasan yang terhakis di Kampung Teluk Nipah.

"Sehubungan itu, CAP menggesa siasatan menyeluruh dijalankan segera dan tindakan tegas diambil bagi menghentikan kerosakan berterusan kepada alam sekitar dan kehidupan komuniti nelayan.

“Pembinaan benteng cegah hakisan juga perlu disegerakan bagi menghalang sisa lumpur terus mengalir ke laut serta menjejaskan kawasan perikanan di Teluk Nipah,” kata beliau.

Mohideen berkata, Kerajaan Kedah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) juga digesa supaya bertindak segera menangani masalah hakisan tanah yang semakin serius di kampung berkenaan.