Kekosongan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan selesai minggu ini

Iklan
Mohd Sany Hamzan

PUTRAJAYA - Kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang menjadi polemik akan diselesaikan minggu ini, kata Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan.

Menurut beliau, komitmen itu disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan tertutup bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Kompleks Seri Perdana, pada Isnin.

Iklan
Iklan

“Isu badan kehakiman itu... Proses pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan semua itu dijelaskan Perdana Menteri.

“Anwar kata isu ini akan selesai secara baik dalam tempoh sehari dua atau dalam minggu ini, kerana Majlis Raja-Raja akan bersidang esok atau pun lusa,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Iklan

Mengulas lanjut, Sany berkata, Anwar turut menjelaskan secara terperinci berkenaan prosedur pelantikan melibatkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan peranan Majlis Raja-Raja.

“Beliau beritahu pelantikan ini perlu melalui Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dahulu kemudian nama akan dibawa kepada Perdana Menteri, kemudian dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum ia akan bincang dengan Majlis Raja-Raja,” ujarnya.

Iklan

Menurut beliau, pelantikan hakim tertinggi bukan sesuatu yang boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana melibatkan lunas Perlembagaan dan perlu mendapat perkenan institusi Raja.

Selain itu, beberapa isu lain turut disentuh dalam pertemuan tersebut termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung beberapa isu tertangguh sejak 2020 serta hal berkaitan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan tarif elektrik.

Jawatan Ketua Hakim Negara kosong selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersara wajib pada 2 Julai lalu, manakala Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim pula menamatkan khidmat sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada 3 Julai.