Khutbah tegur pemanduan berbahaya, satu bentuk perbuatan berdosa

Iklan
Pemanduan laju, cuai, lalai dan mabuk antara punca utama kemalangan maut - Gambar hiasan

IPOH - Memandu secara berbahaya dengan tidak mematuhi undang-undang jalan raya dianggap satu perbuatan berdosa di sisi syarak.

Teks khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyatakan bahawa perbuatan sedemikian amat ditegah oleh agama kerana mengundang kemudaratan kepada nyawa.

Iklan
Iklan

"Syariat Islam amat mementingkan nilai nyawa manusia. Nilai tinggi yang diletakkan pada nyawa terbukti melalui salah satu dari Maqasid Syariah yang menekankan kepentingan memelihara nyawa.

"Hadis Rasulullah SAW yang dijadikan kaedah fiqh dalam penentuan hukum turut menetapkan larangan mendatangkan kemudaratan dalam sebarang bentuk kehidupan," kata teks khutbah.

Iklan

Khutbah bertajuk 'Pemanduan berkhemah - Amanah di jalan raya' itu mengambil contoh dua nahas jalan raya yang menyayat hati berlaku di negeri ini iaitu kemalangan mengorbankan sembilan anggota Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan pada 13 Mei lalu dan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, 9 Jun lepas.

Diberi penekanan bahawa setiap kemalangan jalan raya mengakibatkan pelbagai kecederaan, ramai mangsa mengalami kecacatan secara kekal, tidak kurang mengakibatkan ibu bapa kehilangan anak, anak kehilangan ibu bapa, suami kehilangan isteri dan isteri kehilangan suami.

Iklan

"Dalam banyak kejadian, sikap mementingkan diri sendiri merupakan punca berlaku kemalangan jalan raya antaranya sikap terburu-buru dan melebihi had laju, memandu dalam keadaan mabuk atau dipengaruhi dadah, mengantuk atau kurang sihat.

"Sikap cuai dan leka, memotong di garisan berkembar, menyalah gunakan lorong kecemasan, menukar lorong secara mengejut tanpa memberi isyarat, tidak menjarakkan kenderaan dengan betul, tidak memasang tali pinggang keselamatan atau topi keledar dan keadaan kenderaan yang tidak diselenggarakan dengan baik.

"Turut menjadi punca ialah keadaan jalan raya yang tidak diselenggarakan dengan baik, jalan tidak rata, berlubang dan berlopak, jalan yang tidak cukup pencahayaan dan tanda isyarat pada waktu malam," jelas khutbah berkenaan.

Khutbah turut menggariskan beberapa peringatan dalam penggunaan jalan raya antaranya memastikan keadaan diri dan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan sebarang perjalanan.

Selain itu turut ditekankan agar umat Islam menjauhi perbuatan bahaya di jalan raya, di samping pihak berkuasa perlu meningkatkan usaha penyelenggaraan jalan raya secara berkala dan penguatkuasaan undang-undang secara lebih tegas.

"Pemilik dan pengusaha syarikat pengangkutan, jangan hanya mementingkan keuntungan, tetapi hendaklah bertanggungjawab mematuhi had muatan barangan yang dibenarkan.

"Pastikan jadual kerja pemandu tidak membebankan sehingga mereka tidak memiliki masa rehat yang cukup, melakukan ujian kesihatan berkala terhadap pemandu, serta memberhentikan perkhidmatan pemandu yang memiliki rekod kesalahan jalan raya tinggi," kongsi khutbah tersebut.