SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) didesak mengambil tindakan tegas dalam memperkemas dan menguatkuasakan garis panduan berhubung penganjuran sebarang program atau aktiviti di premis sekolah.
Pengerusi Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sekolah adalah institusi pendidikan yang bertanggungjawab memelihara nilai murni serta membentuk insan berilmu dan berakhlak.
Beliau melahirkan kekesalan berhubung laporan insiden kekecohan dalam satu program melibatkan minuman keras yang berlangsung di sebuah sekolah di Pekan Nanas, Pontian, baru-baru ini.
"Khabarnya program itu dianjurkan pihak luar dan sering diadakan di lokasi sama. Ia mendapat kelulusan daripada lembaga pengelola sekolah, bukan guru besar, malah tiada penglibatan guru atau murid.
"Namun, isu sebenar bukan hanya kekecohan, tetapi kewujudan program yang menyentuh sensitiviti seperti arak dan judi langsung tidak wajar dibenarkan di kawasan sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Saifuddin turut mempersoalkan sikap tidak konsisten pihak tertentu dalam membuat keputusan melibatkan aktiviti di sekolah.
"Ironinya, ada pihak luar dilarang membawa kek Hari Guru ke sekolah, tetapi dibenarkan pula membawa arak. Ini amat tidak masuk akal.
"Oleh itu, KPM perlu lebih tegas dalam memastikan sebarang penganjuran program di sekolah tidak mencemarkan martabat institusi pendidikan," tegasnya.