RANAU - [DIKEMAS KINI] Hujan berterusan di kawasan Gunung Kinabalu menyebabkan berlaku banjir kilat, sekali gus menjadi punca pendaki berdepan kesukaran untuk turun dari puncak gunung itu, pada awal pagi Khamis.
Malim Gunung, Richard Soibi berkata, hujan lebat mula turun secara tiba-tiba sekitar jam 6.30 pagi ketika mereka dalam perjalanan menuruni gunung.
"Saya naik hari ini dan memang hujan turun dengan lebat secara tiba-tiba. Banjir kilat berlaku di sekitar kawasan Sayat-Sayat di Kilometer 7.3.
"Keadaan ini menyebabkan aliran air deras merentasi laluan pendakian, sekali gus menimbulkan risiko pendaki hanyut bersama arus deras," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Bagaimanapun, Richard berkata, tiada sebarang kemalangan dilaporkan berlaku dan semua pendaki berada dalam keadaan selamat.
"Tetapi hujan masih turun secara renyai-renyai sehingga jam 3 petang tadi, manakala angin kencang terus bertiup sehingga kini.
"Laluan agak licin dan risiko tergelincir sangat tinggi. Kami perlu lebih berhati-hati ketika membantu pendaki menuruni gunung," katanya.
Sementara itu, pihak Pengurusan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS) dalam kenyataan berkata, hujan lebat di puncak Gunung Kinabalu menyebabkan aliran air deras yang melimpah daripada kawasan dataran tinggi atas denai Kilometer 7 Check Point Sayat-Sayat.
"Pendakian dibuka pada jam 3.26 pagi, namun, keadaan cuaca telah berubah kepada hujan lebat dan angin kencang yang menyebabkan pembentukan aliran air deras di kawasan Check Point Sayat-Sayat.
Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) dan Malim Gunung telah memantau keadaan kawasan tersebut dan mendapati ia selamat untuk dilalui dengan menggunakan tali keselamatan yang berada di kawasan terbabit.
"Pendaki yang turun selepas pendakian terpaksa melalui kawasan aliran air deras tersebut dibantu oleh Malim Gunung. Jumlah pendaki adalah seramai 155 orang dan kesemua mereka telah berjaya melepasi aliran air deras tersebut pada jam 7.48 pagi," katanya.
Kata kenyataan itu lagi, kejadian aliran air deras itu adalah kejadian biasa yang sentiasa akan berlaku sekiranya hujan namun jika keadaan cuaca tidak mengizinkan ia akan ditutup.
"Pihak TTS telah pun mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan pendaki dengan mengambil kira keadaan cuaca di Gunung Kinabalu.
"Pendakian ke puncak Gunung Kinabalu akan ditutup sekiranya cuaca tidak mengizinkan.
"Selain itu, pemantauan keadaan cuaca akan dibuat oleh pasukan pencari dan menyelamat (SAR) Taman seawal jam 2 pagi hingga 3 pagi, bagi memastikan keadaan persekitaran selamat untuk pendaki.
"Sekiranya cuaca masih tidak mengizinkan, Renjer atau SAR Taman akan membuat taklimat penutupan pendakian," katanya.
Katanya lagi, pada hari kejadian, pemantauan keadaan cuaca telah dilaksanakan oleh SAR Taman dan mendapati keadaan cuaca dalam tahap yang selamat untuk pendakian gunung.
Dalam pada itu, TTS menasihatkan pendaki agar tidak panik sekiranya mengalami situasi seumpama itu.
"Pendaki hendaklah mengikut nasihat SAR Taman dan Malim Gunung demi untuk keselamatan bersama," katanya.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred pula memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung keadaan di puncak Gunung Kinabalu setakat ini.