GENTING GAZA - Mansour Abu al-Khaier melihat kebinasaan di Genting Gaza akibat perang genosid dilancarkan Israel selama hampir dua tahun dengan pandangan sayu.
Meskipun seluruh wilayah itu kini musnah teruk, al-Khaier menolak sekeras-kerasnya cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu melakukan pemindahan paksa ke atas kira-kira 2.3 juta penduduk Palestin.
"Ini adalah tanah air kami. Ke mana lagi kami mahu tuju?" soal juruteknik berusia 45 tahun itu.
Kebimbangan semakin meningkat jika Trump merealisasikan pelan tersebut selepas beliau bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk berbincang tentang 'agenda tersembunyi' itu di Rumah Putih pada Isnin.
Trump dengan angkuh menyatakan mereka sudah menerima 'kerjasama' daripada negara jiran Palestin tentang rancangan pemindahan tersebut.
Netanyahu yang berterusan meraih sokongan sekutu kuatnya itu memberitahu kononnya mereka mahu memberikan masa depan lebih baik kepada penduduk Gaza jika mereka dipindahkan ke negara lain di Asia Barat.
"Mereka diberi pilihan untuk berpindah atau kekal di wilayah itu. Tetapi, mereka yang memilih untuk meninggalkan Gaza akan hidup lebih bebas. Kami sedang menyenaraikan beberapa negara yang akan menerima penduduk Palestin," katanya yang cuba berselindung dengan pelan asal Tel Aviv mahu menguasai enklaf berkenaan.
Sebagai respons terhadap idea itu, jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR), Ravina Shamdasani percaya ia sebenarnya pelan pemindahan paksa dan konsep berpindah secara sukarela yang disebut AS dan Israel turut menimbulkan pelbagai persoalan.
Pelan tidak munasabah
Tidak sampai seminggu kembali memegang jawatan di Rumah Putih pada Januari lalu, Trump memberi cadangan mengarut agar Jordan dan Mesir menerima penduduk Gaza di bawah pelan jangka panjang setelah beliau mahu mentransformasikan wilayah itu sebagai 'Riviera Asia Barat'.
Pelan itu 'senyap' selama beberapa bulan sebelum Trump kembali menyebut tentang 'sesuatu perkara yang baik bakal berlaku'.
Saed, 27, menentang sekeras-kerasnya idea itu memandangkan enklaf tersebut didiami generasi yang terselamat daripada kempen pembersihan etnik atau Hari Nakba (malapetaka) ketika penubuhan negara haram Israel pada 1948.
"Kami berhak membuat keputusan sendiri. Kami menolak pelan pemindahan tersebut," tegasnya.
Terbaharu, Reuters mendedahkan pelan tidak munasabah Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) disokong AS yang mahu membina kem berskala besar digelar 'Kawasan Transit Kemanusiaan' di luar wilayah tersebut kononnya untuk menempatkan populasi Palestin.
Agensi bantuan kontroversi itu turut menggariskan visi untuk menggantikan kawalan Hamas ke atas penduduk Gaza dan cadangan tersebut sedang dibincangkan pentadbiran Trump.
Bagi Abu Samir el-Fakaawi, dia tidak sesekali akan berganjak dari Gaza.
"Anak-anak dan ahli keluarga kami yang terkorban dikebumikan di Gaza. Kami semua akan disemadikan di aini. Sama ada Trump atau Netanyahu atau pihak lain setuju atau tidak, kami tetap akan kekal di tanah air kami," menurutnya. - Agensi